Khamis, 15 April 2021

Insiden satu diskriminasi, penghinaan pada agama – Yusuf Azmi

KEJADIAN dua lelaki yang bertugas sebagai pengawal peribadi dicederakan dan dihina oleh majikan hanya kerana berpuasa disifatkan sebagai satu bentuk diskriminasi dan penghinaan kepada Islam.

Walaupun suspek telah ditahan polis, namun Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM), Yusuf Azmi berpandangan isu tersebut tidak boleh dipandang remeh kerana suspek didakwa telah menghina Islam.

Yusuf malah berkata, tindakan suspek itu seolah-olah membuatkan dia mempunyai keseluruhan hak ke atas pekerja dan menjadikan pekerja sebagai hamba abdi.

Beliau berkata, kejadian yang berlaku itu juga seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak kerana isu itu adalah realiti yang mungkin sedang berlaku ke atas orang lain.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana menjalankan tanggungjawab dengan cepat dan menangkap suspek. Namun begitu, kita sebagai umat Islam, kita tak boleh biarkan perkara seperti ini terus berlaku.

“Kita seperti dihina di tanah sendiri. Ini soal Islam. Tidak semestinya mereka pemilik syarikat, maka mereka boleh melayan pekerja seperti binatang. Binatang pun kita perlu berkasih sayang,” katanya kepada UtusanTV hari ini.

Beliau sebelum itu mengadakan sidang akhbar menerusi Facebook bersama dua mangsa yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Semalam, berita mengenai dua pengawal peribadi dibelasah dan diacukan pistol disebabkan enggan menuruti arahan majikan supaya tidak berpuasa tular dalam media sosial.

Mangsa berusia 43 tahun bersama seorang lagi rakan sekerja dibelasah menggunakan rotan oleh majikannya di rumah di Batu Nilam, Klang.

Susulan itu, polis turut menahan empat individu dipercayai terbabit dalam kejadian dua lelaki dipukul di belakang badan dengan rotan itu.

Mengulas lanjut, Yusuf memberitahu pihaknya juga telah menyerahkan memo bantahan mengenai salah laku majikan kepada pejabat majikan mangsa di Bandar Botanik, Klang, hari ini.

Beliau berkata, tujuan penyerahan memo bukan mahu mengeruhkan lagi keadaan tetapi bagi memberi mesej jelas bahawa jangan mempermain atau mendiskriminasi pekerja dan agama sewenang-wenangnya.

“Saya yakin kita sebagai orang Islam amat menghormati mana-mana agama dan budaya. Hari ini jelas apa yang telah berlaku dan kita serahkan memorandum untuk memberi mesej kepada syarikat lain juga supaya jangan cuba mempermainkan Islam,” katanya.

Tiada ulasan: