Rabu, 14 April 2021

MKN keluar SOP majlis buffet berbuka puasa

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi majlis buffet berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan berikutan pengumuman aktiviti seperti itu dibenarkan.

Bagi kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), jumlah individu yang hadir dihadkan kepada 50 peratus daripada kapasiti ruang dewan atau hotel dan 100 peratus mengikut ruang bagi restoran dan kedai makan dengan perlu mematuhi penjarakan fizikal.

Kehadiran tetamu atau pelanggan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula tertakluk kepada saiz keluasan ruang dan penjarakan fizikal.

Tetamu diminta mendaftarkan kehadiran mereka melalui aplikasi MySejahtera, memeriksa suhu badan dan gejala Covid-19 serta membersihkan tangan menggunakan pencuci sanitasi tangan.

Penganjur juga mesti memastikan tetamu mematuhi penjarakan fizikal dengan sekurang-kurangnya jarak satu meter dan memakai pelitup muka ketika pendaftaran.

Kehadiran tetamu di kalangan bayi dan kanak-kanak serta mereka yang mempunyai penyakit kronik juga tidak digalakkan.

Pramusaji atau pekerja juga dikehendaki memakai pelitup muka, manakala penyediaan makanan diseliakan oleh mereka untuk mencedok makanan ke pinggan tetamu atau pelanggan.

Tetamu  juga diminta untuk elak bersembang secara berdekatan dan beratur mengambil makanan atau makan dalam jarak satu meter.

Selain itu mereka juga digalakkan membawa kelengkapan solat seperti sejadah sendiri untuk solat di surau atau di tempat majlis buffet Ramadan dianjurkan.

Bagi penganjur, mereka diminta supaya memperbanyakkan tempat/ station hidangan buffet untuk mengelakkan tetamu tertumpu atau bersesak-sesak di satu-satu tempat.

Kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi juga mesti dilakukan sebelum dan sesudah majlis berbuka diadakan.

Tiada ulasan: