Jenazah penuntut Malaysia Muhammad Hafidz Abdullah yang meninggal dunia selepas menerima rawatan selama empat hari di unit rawatan kritikal sebuah hospital di United Kingdom (UK), selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Senawang di Negeri Sembilan kira-kira pukul 9.30 malam semalam.
Jenazahnya yang tiba dari UK hari ni di bawa ke Masjid Negeri di Seremban kira-kira pukul 7 malam untuk disembahyangkan sebelum tiba di tanah perkuburan sekitar 8.40 malam ini untuk dikebumikan di kampung halaman isterinya, Nazihahwati Mohiddin, 36 tahun.
Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan berkenaan dengan kehadiran lebih 50 ahli keluarga.
Muhammad Hafidz, 36, yang di tahun kedua pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di University of Sheffield itu disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11.35 pagi 8 April lepas selepas isterinya membuat keputusan membenarkan pihak hospital Northern General Hospital di Sheffield mematikan alat bantuan pernafasan atas nasihat pasukan perubatan.
Beliau yang merupakan kakitangan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dilaporkan tiba-tiba pengsan semasa bermain bola di Pusat Sukan Goodwin di Sheffield pada 4 April lepas dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan semasa rawatan.
Sementara itu bapa Allahyarham, Abdullah Kasim, 65, mengakui sangat sedih dan terkejut selain menyifatkan pemergian Muhammad Hafidz merupakan satu kehilangan besar buat keluarganya.
Beliau yang tiba dari Shah Alam turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana membantu urusan membawa pulang jenazah anaknya.
Menurutnya, mereka bercadang untuk menziarahi Allahyarham sebaik mengetahui keadaan kesihatan anaknya itu semakin merosot namun terpaksa menangguhkannya kerana kekangan susulan penularan pandemik Covid-19.
“Kami tunggu keadaannya makin pulih tetapi tak sempat kerana dia pergi dulu...dia anak yang baik, bagaimanapun kami reda dengan pemergiannya.
"Kali terakhir kami bersua muka sebelum dia ke UK pada September 2019, dan ketika dia berada di sana pun setiap hari dia telefon kami untuk bertanya khabar dan kali terakhir kami berkomunikasi adalah sehari sebelum arwah pengsan,” katanya kepada pemberita.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan