Selasa, 20 April 2021

KKM siasat dakwaan pelajar didenda RM1,500 di kafeteria kolej

 

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat dakwaan kes beberapa pelajar di sebuah kolej matrikulasi di Perak yang didenda RM1,500 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Kejadian dipercayai berlaku di Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng semalam, di mana pegawai kementerian itu sedang menyiasat kes keracunan makanan di kafeteria terbabit sebelum mendenda pelajar kerana tidak memakai pelitup muka.

“Siasatan segera sedang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Perak,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah di Twitter.

“Terima kasih atas aduan ini kepada KKM dan perkara ini akan diambil tindakan secepat mungkin,” katanya sebagai respon kepada hantaran pengguna @NabilAmirul4 di Twitter yang menyiarkan foto kejadian itu dan mempersoalkan denda yang dikenakan.

“Kami punya elaun pun untuk enam bulan hanya RM1,250,” tulisnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mempersoalkan mengapa pegawai berkenaan tidak menyiasat dahulu perkara itu.

“Kalau pelajar, tak perlu buka kertas siasatan. Kompaun terus,” katanya.

“Dah banyak kali kita tegur pelaksanaan ‘double standard’ macam ni. Apa salahnya tegur dulu sebelum kompaun? Apa yang susahnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu akan memberikan bantuan guaman percuma kepada pelajar yang dikenakan kompaun dan akan membantu mereka mengemukakan rayuan denda kepada KKM.

Tiada ulasan: