Selasa, 20 April 2021

2 lagi video judi tular, 3 individu ditahan

Terdahulu, sebuah iklan mempromosikan aktiviti perjudian yang menggunakan 
lagu Hari Raya Aidilfitri sebagai muzik latar, mengundang kecaman netizen 
kerana menyinggung sensitiviti umat Islam.

PETALING JAYA: Tiga lagi individu ditahan susulan tular dua lagi video mempromosi judi dalam talian berdurasi 48 saat dan 30 saat semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah berkata, dua laporan polis dibuat susulan video terbabit sebelum tiga suspek yang terbabit dalam pembikinan video berkenaan ditahan.

Zainal berkata, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi video terbabit.

“Perbuatan sedemikian bukan sahaja salah di sisi undang-undang tetapi boleh mendatangkan keresahan dan kegusaran awam,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, polis tidak akan berkompromi ke atas semua pihak yang terbabit dalam aktiviti perjudian dan pembikinan video itu.

“Tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Terdahulu, sebuah iklan mempromosikan aktiviti perjudian yang menggunakan lagu Hari Raya Aidilfitri sebagai muzik latar, mengundang kecaman netizen kerana menyinggung sensitiviti umat Islam.

Iklan selama dua minit yang dikeluarkan syarikat judi, GDBet333, itu turut dikecam menggunakan pelakon dipercayai beragama Islam dan mengajak orang ramai meraih wang berganda menggunakan perkhidmatan syarikat itu bagi mencari dana untuk beraya.

Video kedua pula tular selepas video pertama yang juga menggunakan modus operandi yang sama bagi menarik pelanggan dalam kalangan umat Islam.

Rakaman video lagu raya berkenaan memaparkan aksi lakonan serta nyanyian oleh seorang lelaki dan seorang wanita yang mempromosikan satu permainan judi.

Tiada ulasan: