Ahad, 11 April 2021

Kelantan batal bazar Ramadan, Aidilfitri

 Oleh ROSLIZA MOHAMED

Gambar hiasan

KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan membuat keputusan membatalkan bazar Ramadan dan bazar Aildilfitri seluruh negeri pada tahun ini berikutan peningkatan kes Covid-19 sejak beberapa hari lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr. Izani Husin memaklumkan perkara berkenaan menerusi status di akaun Facebooknya hari ini.

Dr. Izani berkata, Program Madinah Ramadan juga ditukar menjadi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sebagai ikhtiar demi membendung penularan wabak berkenaan.

Madinah Ramadan merupakan satu program melibatkan solat tarawih berjemaah, berbuka puasa, sahur, penyampaian sumbangan fakir miskin, tazkirah dan bicara keilmuan.

Dr. Izani Husin memaklumkan perkara berkenaan menerusi status di akaun Facebooknya hari ini.

Program itu merupakan acara tradisi dijalankan di negeri Kelantan sepanjang Ramadan.

Berdasarkan rekod, Kelantan mencatatkan sebanyak 171 kes Covid-19 semalam dan berada di kedudukan ketiga tertinggi selepas Sarawak dan Selangor.

Pada masa sama, satu kluster baharu dicatakan iaitu Kluster Bandar Baru Kubang Kerian yang membabitkan tempat kerja di daerah Tumpat, Bachok, dan Kota Bharu.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob membenarkan bazar Ramadan beroperasi sepanjang bulan puasa ini dengan jumlah kapasiti penjual dan pembeli yang bersesuaian dengan lokasiz

Pelaksanaan bazar juga perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dan penjual hanya dibenarkan melayan dua orang pelanggan pada satu-satu masa. – K! ONLINE

Tiada ulasan: