Kuala Lumpur: "Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana dengan adanya inisiatif ini, ia memudahkan saya dan rakan seperjuangan mendapatkan pembiayaan membeli motosikal baharu dengan mudah pada kadar faedah berpatutan," kata Mohd Adie Ali Nafiah, 28.
Mohd Adie yang mencari rezeki dengan menceburi bidang penghantaran bermotosikal sejak enam tahun lalu berkata, dia bersyukur permohonan mendapatkan pembiayaan Tekun MobilePreneur tahun lalu diluluskan.
"Inisiatif ini memberi peluang kepada kami mendapatkan pembiayaan membeli motosikal baharu memandangkan pendapatan seperti kami ini agak rumit membuat permohonan pinjaman.
"Apabila kerajaan mengumumkan inisiatif ini, saya segera memohon kerana kebetulan motosikal sedia ada sudah uzur.
"Alhamdulillah, saya lega apabila Tekun meluluskan RM9,000 tahun lalu bagi membeli motosikal baharu menggantikan motosikal lama itu," katanya.
Sementara itu, Badrul Azwan Baharudin, 30, pula berkata, pembiayaan daripada Tekun itu amat membantu meringankan beban golongan sepertinya meneruskan kelangsungan mencari rezeki.
"Memang siapa yang bekerja dalam bidang ini motosikalnya cepat rosak dan uzur kerana kenderaan ini penggerak utama kita menghantar barang pelanggan setiap hari.
"Jadi, kewujudan skim pembiayaan ini tepat pada waktunya kerana ia meringankan beban penunggang khidmat penghantaran seperti saya dalam tempoh sukar ini.
"Saya mencadangkan rakan lain yang terlepas permohonan tahun lalu rebutlah peluang kali ini kerana ia amat membantu kelancaran kami dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan," katanya.
Tekun MobilePreneur yang mula diperkenalkan tahun lalu untuk penggiat ekonomi gig bermotosikal diperluaskan lagi tahun ini di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) merangkumi pembiayaan baik pulih atau membeli motosikal baharu dengan had sehingga RM10,000.
Malah, di bawah Pemerkasa juga, kerajaan turut memperkenalkan Tekun POSPreneur bagi membantu pembiayaan mikro kredit untuk menjana pendapatan melalui kontrak penghantaran barangan.
Pembiayaan itu diberikan sehingga RM20,000 bagi tujuan baik pulih kenderaan dan sehingga RM50,000 bagi pembelian van atau lori.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan