Dengan bantuan pemimpin MCA, operasi pemusnahan pada 2017 tak berlaku
BUKIT TINGGI – Kira-kira 100 orang pegawai penguatkuasa dari Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), Jabatan Tanah Pahang serta polis menjalankan operasi pemusnahan tanah kebun berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Tinggi.
Antara yang dimusnahkan dalam operasi melibatkan tanah seluas empat ekar semalam ialah pokok durian dan tanaman sayur-sayuran.
Salah seorang pekebun dikenali sebagai Chen Cai Kui, 41, berkata, tanah kebun itu mula diusahakan oleh ayahnya dan hasil tanah ini yang digunakan untuk menyara keluarga selama lebih 40 tahun.
Dia dan ahli keluarganya adalah generasi ketiga mengusahakan tanah itu, tapi sekarang semua yang mereka usahakan sudah musnah.
“Pada mulanya kami menanam sayur-sayuran, kemudian kami menanam 10 batang pokok Musang King, selain rambutan dan pisang, sekarang semuanya sudah dimusnahkan, sehinggakan pondok kecil menyimpan baja dan peralatan kebun turut dimusnahkan.
“…kami sudah tidak memiliki apa-apa,” katanya seperti dilapor Sinchew pada Isnin lalu.
Menurutnya, Jabatan Tanah telah mengeluarkan arahan berpindah pada 2017, bagaimanapun dengan bantuan Ahli Parlimen Bentong dari MCA waktu itu Liow Tiong Lai, operasi pemusnahan kebun tidak berlaku.
“Surat arahan berpindah dikeluarkan oleh Jabatan Tanah pada 2019 dan 2020, tiada bantahan terhadapnya, sehinggalah 2 April kami menerima surat arahan mengosongkan kebun dalam masa dua minggu.
“Disebabkan sudah melepasi tarikh diberi, pihak jabatan telah datang pada hari ini untuk menjalankan operasi penguatkuasaan yang tegas,” katanya,
Katanya lagi, semenjak 2017 dia sudah beberapa kali berkunjung ke Jabatan Tanah memohon sewa tanah untuk menghalalkan aktiviti pekebunannya, tapi tidak mendapat apa-apa balasan dari pihak terbabit.
Katanya, kemusnahan kebunnya telah menjejaskan mata pencariannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan