Jumaat, 16 April 2021

Empat anggota MPPD ditahan SPRM, disyaki minta suapan daripada penjaja

Oleh NOR SHAFAWATI YUP

SEREMBAN: Empat anggota Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada penjaja dalam operasi Op Jambu semalam.

Menurut sumber SPRM, kesemua individu berusia antara 36 hingga 53 tahun itu ditahan pada pukul 2 petang tadi ketika hadir ke Pejabat SPRM Negeri Sembilan untuk soal siasat.

“Maklumat diterima menyatakan bahawa anggota-anggota MPPD disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada penjaja-penjaja pasar pagi dan malam di sekitar Lukut dan Port Dickson.

“Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap penjaja-penjaja yang tidak berlesen,” jelas sumber di sini hari ini.

Sumber berkata, empat anggota MPPD itu bertugas sebagai penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam dan pembantu penguat kuasa.

Tambah sumber, kesemua individu terbabit akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban pada esok untuk permohonan reman. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: