Jumaat, 16 April 2021

Apa manfaat gabungan Celcom-Digi? Kerajaan perlu bertindak, kata Tok Mat

\
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, berkata Malaysia wajar 
mempunyai syarikat telekomunikasi bersifat global untuk meneroka potensi 
penawaran perkhidmatan rentas sempadan.

PETALING JAYA: Kerajaan perlu meminta penjelasan Celcom Digi, entiti yang terbentuk menerusi penggabungan operasi telekomunikasi Axiata Group Bhd dan Telenor ASA, sama ada gabungan itu mampu menguntungkan pengguna, selain meningkatkan kebolehsaingan industri secara keseluruhan.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, berkata pengumuman yang hanya terfokus kepada penggabungan keupayaan syarikat demi meraih keuntungan berganda mesti diseimbangkan dengan kewajaran menggalakkan persaingan yang sihat dalam pasaran Malaysia yang tidak begitu besar.

“Pengumuman Celcom Digi juga wajar menjelaskan kepentingan perlindungan pengguna selepas penggabungan ini,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, Malaysia wajar mempunyai syarikat telekomunikasi bersifat global untuk meneroka potensi penawaran perkhidmatan rentas sempadan.

Namun katanya, Celcom Digi tidak dibentuk untuk tujuan itu kerana medan persaingannya masih dalam pasaran Malaysia yang sederhana besar.

“Maka semua ini mewajarkan penilaian sehabis baik kerajaan tentang manfaat penggabungan ini kepada pengguna, kepentingan nasional, kedinamikan industri telekomunikasi dan kepatuhannya kepada kerangka persaingan yang sihat,” katanya.

Mohamad berkata, negara memerlukan pemain yang mengutamakan kepentingan dan keperluan pengguna dalam era “Internet for Everything”.

Katanya, untuk itu, persaingan yang sihat, dikawalselia dengan tekun dan liberalisasi pasaran wajar dipertimbangkan.

“Mempunyai syarikat gergasi telekomunikasi mungkin bukan satu-satunya jalan terbaik untuk mencapai tujuan tersebut,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Group, Izzaddin Idris, pada sidang media minggu lalu mengesahkan usaha penggabungan itu dengan menyatakan Telenor dan Axiata masing-masing akan memegang 33.1% saham dalam Celcom Digi Bhd.

Celcom Digi akan menerajui industri telekomunikasi tempatan dari segi nilai, pendapatan dan keuntungan dengan jumlah pelanggan seramai 19.1 juta orang.

Telenor dan Axiata Group berusaha melakukan rundingan penggabungan pada 2019, namun ditamatkan selepas empat bulan.

Baru-baru ini, bekas perdana menteri, Najib Razak menyuarakan kebimbangannya bahawa gabungan itu akan menjejaskan persaingan dan akhirnya menekan pengguna.

Tiada ulasan: