Ahad, 7 Mac 2021

Zahid keluar RM17.9 juta wang yayasan Akalbudi, kata pegawai SPRM

Bernama

Pegawai SPRM berkata bahawa daripada jumlah itu, RM8.6 juta digunakan untuk membayar deposit saham kepada Ri-Yaz Assets Sdn Bhd.

Ahmad Zahid Hamidi berdepan 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan pengubahan wang haram. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa terdapat penglibatan Ahmad Zahid Hamidi dalam pengeluaran wang Yayasan Akalbudi milik bekas timbalan perdana menteri itu, berjumlah RM17.9 juta yang digunakan untuk pembelian sijil simpanan tetap dan saham.

Sambil menunjukkan carta aliran pengeluaran wang tersebut di mahkamah, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Fazli Zulkifli, 36, menjelaskan bahawa daripada jumlah itu, RM8.6 juta digunakan untuk membayar deposit saham kepada Ri-Yaz Assets Sdn Bhd manakala RM9.3 juta bagi pembelian sijil simpanan tetap.

“Pengeluaran wang daripada akaun Affin Bank milik Yayasan Akalbudi kepada akaun Maybank Tetuan Lewis & Co (pemegang amanah Yayasan Akalbudi) itu adalah arahan Ahmad Zahid,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi.

Beliau berkata demikian pada hari ke-47 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Saksi pendakwaan ke-93 itu berkata wang berjumlah RM8.6 juta dibayar kepada Ri-Yaz Assets bagi tujuan pembayaran deposit pembelian saham 60 peratus milik pemegang saham syarikat itu, Rashid Manaf oleh anak Ahmad Zahid, Nurulhidayah.

“Pembayaran RM8.6 juta itu dibuat melalui firma guaman, Tetuan Lewis & Co kepada Ri-Yazz Assets setelah perbincangan antara Ahmad Zahid, Nurulhidayah, Mohammad Shaheen Shah Mohd Sidek (pengarah Ri-Yaz Assets), Mat Noor Nawi (pengerusi Exim Bank) dan Norzilah Mohamad (ketua pegawai eksekutif Exim Bank).

“Nurulhidayah berminat mengambil alih 60 peratus saham Rashid dalam Ri-Yaz Assets dan meminta pihak Exim Bank menyusun semula pinjamin syarikat itu dengan Exim Bank bagi memanjangkan tempoh pinjaman dan mengeluarkan nama Rashid sebagai penjamin dengan menggantikan nama Nurulhidayah,” katanya.

Beliau berkata siasatan dengan pihak Exim Bank mendapati Ri-Yaz Assets telah membayar tunggakan hutangnya berjumlah RM8.3 juta (AS$2.058 juta) menggunakan wang yang diperoleh daripada Lewis & Co bagi menyelesaikan tunggakan bayaran balik pinjaman untuk pembelian hotel di Bali, Indonesia oleh syarikat itu.

“Terdapat lebihan bayaran disebabkan perbezaan tukaran ringgit kepada USD pada ketika itu berjumlah RM254,879.10. Wang itu telah dipulangkan kembali kepada firma guaman itu menerusi cek,” katanya.

Muhammad Fazli berkata hasil siasatannya, Nurulhidayah telah dilantik sebagai pengarah Ri-yaz Assets pada 27 Jan 2017 bagi menggantikan Abdul Rashid yang meletak jawatan sebagai pengarah pada tarikh sama.

“Nurulhidayah kemudiannya meletakkan jawatan sebagai pengarah syarikat tersebut pada 31 Jan 2017. Bagaimanapun, kedua-dua pihak iaitu Rashid dan Nurulhidayah tidak meneruskan perjanjian jual beli saham itu.

“Setelah perjanjian saham tersebut tidak diteruskan, Nurulhidayah dan Ahmad Zahid meminta supaya wang berjumlah RM8.3 juta dikembalikan kepada Lewis & Co kerana ia adalah wang Yayasan Akalbudi,” katanya.

Saksi itu juga berkata hasil siasatannya mendapati Nurulhidayah tiada sebarang jawatan dalam Yayasan Akalbudi.

“Pada masa itu, Nurulhidayah bekerja dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sebagai pengarah pemasaran,” katanya ketika menjawab soalan Ahmad Sazilee.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.

Tiada ulasan: