KUALA LUMPUR – Seorang wanita menemui mayat teman serumahnya terbaring di dalam bilik tidur dengan ditutupi kain dan seorang lelaki menggantung diri pada kipas ruang tamu flat yang disewanya di Jalan Seri Sentosa 9, di sini, pada petang semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Anuar Omar berkata, polis menerima aduan daripada pemilik rumah yang dihubungi penyewa rumahnya itu, seorang wanita warga Indonesia, memaklumkan perkara tersebut.
“Saksi kejadian yang merupakan teman serumah mangsa memberitahu kali terakhir saksi melihat kedua-dua mangsa adalah pada 27 Februari 2021, jam lebih kurang 7.30 pagi semasa saksi hendak keluar pergi bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Anuar, kedua-dua mangsa berada dalam keadaan baik.
Tambah beliau, keterangan jiran mangsa menyatakan tidak mendengar sebarang kekecohan atau bunyi bising dari rumah tersebut.
Ujarnya, hasil siasatan awal pasukan forensik polis menyatakan terdapat kesan lebam sepanjang 15 sentimeter di leher mangsa wanita disyaki dijerut.
Anuar berkata, kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menyalurkan maklumat ke Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan