Oleh NOR AINNA HAMZAH
JEMPOL: Seorang lelaki yang juga merupakan anak saudara seorang wanita berusia 51 tahun yang ditemukan mati di sebuah rumah di Kampung Dusat, Ayer Hitam, di sini, dalam kejadian kira-kira 11.56 pagi, 4 Mac lalu ditangkap polis.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden, Hoo Chang Hook berkata, lelaki berusia 45 tahun itu ditangkap polis pada hari yang sama selepas keterangan yang diberikan mempunyai banyak percanggahan ketika siasatan dijalankan.
Menurutnya, mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di atas tilam di hadapan pintu masuk dalam rumah.
“Terdapat beberapa kesan kecederaan pada bahagian kepala, badan, tangan dan kaki mangsa. Pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian yang dipercayai merupakan kes bunuh.
“Beberapa objek senjata seperti kayu telah dirampas di tempat kejadian. Barang kes yang dijumpai telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chang Hook berkata, tempat kejadian merupakan sebuah rumah yang tidak mempunyai jiran di kiri dan kanan manakala jiran yang berdekatan tinggal lebih kurang 200 meter.
Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban bagi proses bedah siasat.
“Kertas siasatan dalam proses untuk dilengkapkan. Setakat ini beberapa saksi telah dirakamkan percakapan bagi melengkapkan siasatan.
“Suspek telah ditahan reman bermula 5 Mac lalu hingga 18 Mac depan. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati mandatori.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan