Jumaat, 26 Mac 2021

Tun M, Guan Eng antara cuba dibunuh Daesh

 Oleh Media Mulia

DR. MAHATHIR MOHAMAD

PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad terselamat daripada cubaan dibunuh seorang individu yang merancang melakukan serangan secara solo ke atas bekas Perdana Menteri itu sebelum negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Selain, Dr. Mahathir turut diancam untuk dibunuh ialah bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa dan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.

Perkara itu didedahkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azman Omar dalam satu forum maya anjuran Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia berkenaan radikalisme dan ekstremisme pagi tadi.

Menurut Azman, rancangan tersebut terbongkar selepas penahanan seorang lelaki yang mengaku merancang secara bersendirian untuk melakukan pembunuhan orang-orang kenamaan tersebut.

“Kita berjaya menghalangnya melakukan jenayah itu pada Januari 2020 beberapa bulan sebelum negara dikenakan PKP.

“Kes itu antara tujuh tangkapan yang dilakukan pasukan E8 pada tahun lalu, berbanding lebih 10 serbuan dan tangkapan pada 2019. Sebanyak 109 serbuan dan tangkapan dilakukan pada 2018,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurut sumber, Bahagian E8 menjalankan tangkapan ke atas enam individu yang terdiri daripada lima lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia di Kuala Lumpur, Perak, Selangor dan Pulau Pinang pada 6 dan 7 Januari tahun lalu.

Operasi itu susulan siasatan ke atas kumpulan WhatsApp yang pernah membuat ugutan bunuh ke atas Dr. Mahathir dan beberapa orang kenamaan menerusi dua klip video ugutan pada 12 Disember 2019 dan 1 Januari tahun lalu di media sosial.

“Siasatan mendapati, ketua kumpulan itu turut menganggotai kumpulan yang mempunyai kaitan dengan penyerang berani mati pada 13 November 2019 di Indonesia.

“Kesemua tangkapan itu adalah ahli kumpulan perjuangan Daesh di negara ini. Siasatan sedang diteruskan dan segala perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Kesemua tangkapan yang berusia 26 hingga 51 tahun itu masih ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Bab IV A Kanun Keseksaan kerana terlibat dengan kesalahan berkaitan keganasan.- UTUSAN

Tiada ulasan: