MALAYSIAKINI
Ketika hakim berbangsa Inggeris sentiasa berhati-hati membuat keputusan berkaitan Islam di negara ini suatu ketika dulu, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah Abdul Hadi Awang berkata ada pula hakim Melayu Islam yang "tiada dalam hatinya kepekaan terhadap Islam".
Kata Abdul Hadi keadaan itu berlaku walaupun negara ini sudah mendapat kemerdekaan lebih 50 tahun.
Menurutnya terdapat dalam kalangan hakim yang baru hilang sensitiviti agama dengan mereka membuat keputusan berasaskan buku yang dibaca, bukan mengikut pertimbangan akal yang mempunyai budi bicara.
Apa yang menarik, kata Abdul Hadi, penjajah British sendiri pada zaman penjajahan sangat berhati-hati agar tidak menyentuh sebarang sensitiviti penganut Islam sehingga mereka meletakkan kuasa Islam kepada raja-raja.
"Malangnya ada dalam kalangan Melayu-Islam yang tiada dalam hatinya kepekaan terhadap Islam walaupun telah mendapat kemerdekaan lebih setengah abad.
"Malangnya lagi terdapat juga kalangan mereka yang menonjolkan diri berwajah Inggeris lebih daripada bangsa Inggeris sendiri," katanya dalam kenyataan bertajuk Merdekakan Perlembagaan hari ini.
Tambah presiden PAS itu lagi apabila berlakunya keputusan mahkamah yang berani mencabar Enakmen Jenayah Syariah Selangor, ia seumpama batu besar yang dihempas ke dalam lubuk yang tenang.
"Disangka tiada lagi saki-baki buaya belaan penjajah British di dalamnya, namun tiba-tiba buaya itu mendongakkan kepalanya.
"Mereka muncul atas pelbagai nama media, NGO dan individu sehingga umat Islam dapat mengenali secara dekat siapa wajah mereka yang sebenarnya," kata Abdul Hadi lagi.
Usah cetus spekulasi
Untuk rekod pada 25 Feb lalu Mahkamah Persekutuan mengetepikan undang-undang syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah.
Keputusan sebulat suara itu dicapai sembilan hakim yang bersidang, dengan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menjadi ketuanya. Hakim terbabit membenarkan cabaran undang-undang seorang lelaki terhadap Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Peruntukan Syariah negeri itu menetapkan adalah satu kesalahan bagi umat Islam di Selangor melakukan seks di luar tabii.
Keputusan itu dibuat selepas hakim berkenaan mendapati peruntukan yang dicabar itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang memang sudah menetapkan kegiatan seks luar tabii sebagai suatu kesalahan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad pula menggesa semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan memberitahu pihaknya akan mengadakan perbincangan bagi melihat ruang penambahbaikan dalam undang-undang syariah.
"Saya menyeru agar semua umat Islam di negara ini dan seluruh rakyat Malaysia menghormati penghakiman yang diputuskan dan tidak mencetuskan spekulasi dari penghakiman tersebut," katanya.
Abdul Hadi berkata sikap penganut Islam terhadap agama mereka hendaklah berdasarkan panduan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.
Katanya terdapat kalangan hakim yang benar-benar arif dan amat arif membuat keputusan berdasarkan budi bicara kerana masih mempunyai sensitiviti agama dalam diri masing-masing seperti Allahyarham Salleh Abbas - yang pernah menjadi Adun PAS di Terengganui - Allahyarham Harun Hashim dan Abdul Hamid Omar.
"Terpulang kepada diri masing-masing sama ada ingin menepuk dada tanya iman atau tepuk dada tanya selera makan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan