Selasa, 2 Mac 2021

Tiada lagi tambang bas percuma untuk warga asing

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
NG Sze Han (kiri) dan Haris Kasim (dua dari kanan) menaiki perkhidmatan bas Smart Selangor hari ini. - FOTO/ABDUL RAZAK IDRIS

SHAH ALAM: Tiada lagi tambang percuma untuk warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas Smart Selangor bermula 15 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, tambang sebanyak 90 sen yang dikenakan bukan satu diskriminasi tetapi bagi menampung sebahagian kos pengurusan bas tersebut.

“Kerajaan negeri menanggung kos pengurusan bas Smart Selangor kira-kira RM50 juta setahun bagi 136 buah melibatkan 43 laluan. Namun, bagi warganegara masih kekal iaitu tiada tambang akan dikenakan sebagaimana kita bermula pada 2015.

“Kita mengutamakan warganegara tempatan yang merupakan pembayar cukai dan sebab itu mengekalkan tiada tambang dikenakan kepada mereka,” katanya kepada pemberita pada majlis Perasmian Scan To Ride di pejabat Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) Seksyen 14, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim dan Pengarah Urusan SSDU Innovation Sdn.Bhd., Dr.Fahmi Ngah.

Sementara itu Fahmi berkata, penumpang perlu memuat turun aplikasi Citizen E-Payment (CEPat) di dalam telefon pintar untuk menggunakan khidmat bas Smart Selangor.

“Bagi bukan warganegara mereka perlu mempunyai nilai kredit yang cukup di dalam aplikasi CEPat untuk membuat bayaran tambang bas Smart Selangor.

“Manakala, bagi warganegara pula, mereka perlu mengimbas kod QR untuk mendapatkan pengesahan identiti sebelum menaiki bas tanpa sebarang bayaran,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: