Khamis, 18 Mac 2021

Terus cekal cari rezeki selepas setahun ‘terperangkap’ di Singapura

 Oleh MUHAMMAD AIMY AHMAD

PEKERJA Malaysia yang masih bekerja di Singapura, Farizatul Firdaus.

JOHOR BAHRU: Penutupan pintu negara sejak setahun lalu bukan sahaja menjejaskan aktiviti ekonomi dan industri utama lain tetapi lebih memeritkan buat rakyat negara ini yang mencari rezeki di negara jiran, Singapura.

Meskipun tidak dihalang untuk pulang ke tanah air, pintu sempadan Malaysia-Singapura yang ditutup sejak 365 hari lalu bagi mengekang pandemik Covid-19 menyebabkan ada rakyat negara ini yang memilih berdepan suasana ‘hujan emas di negeri orang’ sehingga terpaksa berjauhan dengan keluarga.

Rata-rata mereka memilih untuk terus berada di negara republik itu disamping ramai juga yang ‘kecundang’ ekoran amat merindui keluarga serta faktor-faktor lain walaupun menerima gaji yang lumayan di Singapura.

Bagi seorang rakyat negara ini, Farizatul Firdaus, 30, yang berasal dari Kelantan, biarpun berdepan cabaran berbeza tinggal di negara itu berbanding berulang-alik dari Johor Bahru sebelum ini, matlamat mereka hanya satu iaitu mencari rezeki lebih untuk keluarga di kampung.

Katanya, tiada siapa yang memaksa mereka memilih jalan itu namun sudah tentu keputusan untuk terus membanting tulang di Singapura mempunyai sebab-sebab tertentu yang tidak perlu dijelaskan atau dikhabarkan kepada sesiapa.

“Bagi mereka yang sudah pulang ke pangkuan keluarga, gunalah peluang yang ada untuk meluangkan masa bersama keluarga dan membawa pulang rezeki di negeri masing masing.

“Bagi yang masih kekal di Singapura, kuatkan semangat dan banyakkan berdoa agar semuanya kembali seperti sedia kala walaupun belum pasti bila,” katanya melalui kiriman mesej kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kerajaan kedua-dua negara sebelum ini membenarkan rentas sempadan menerusi Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) bermula Ogos, namun Singapura menggantung RGL sejak 1 Februari lalu dengan beberapa negara termasuk Malaysia berikutan peningkatan semula kes Covid-19 di seluruh dunia.

Seorang lagi rakyat Malaysia, Ahmad Badiuzzaman Shuib, 32, yang turut melangsungkan perkahwinan di Singapura pada 21 Februari lalu akibat tidak dapat pulang ke tanah air juga berharap rakan-rakan dari Malaysia terus cekal bekerja di Singapura.

Katanya, isteri, Nor Syuhada Baharudin, 31, membuat pengorbanan besar apabila bersetuju untuk dinikahkan tanpa kehadiran keluarga dan hanya ditonton melalui panggilan video pada hari bersejarah mereka.

“Walaupun saya memang menetap di sini sebelum Covid-19 melanda, tetapi sudah lebih setahun juga tidak pulang menjenguk keluarga di kampung, malah isteri yang berulang-alik dari Johor Bahru turut tinggal terus di Singapura.

“Tidak banyak yang kami harapkan melainkan pintu sempadan kedua-dua negara dibuka semula seperti biasa dan melihat kepada perkembangan program imunisasi Covid-19 di Malaysia, harapan kami melonjak lebih tinggi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: