Isnin, 22 Mac 2021

Takiyuddin: Parlimen tak bersidang 2 tahun ketika darurat 1969

Malaysiakini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata perjalanan pentadbiran tidak terjejas walaupun Dewan Rakyat tidak bersidang susulan proklamasi darurat yang masih berkuat kuasa.

Menegaskan perkara itu, Takiyuddin membangkitkan darurat yang diisytihar pada 1969 yang berjalan selama dua tahun, sebagai contoh.

"Kalau tahun 1969 dulu, dua tahun Parlimen tidak bersidang pun, tidak ada masalah dalam perjalanan kerajaan.

"Kita baru bersidang pada Disember baru-baru ini ketika luluskan belanjawan, sekarang bulan Mac. Baru empat bulan tak bersidang, jadi tak timbul masalah," katanya ketika sidang media selepas Program Malaysia Prihatin Sesi bersama pegawai kerajaan negeri dan persekutuan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.

Takiyuddin berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan sejumlah pihak, termasuk parti politik, supaya kerajaan mengadakan sidang Dewan Rakyat dalam masa segera.

Untuk rekod, darurat yang dirujuk Takiyuddin diisytihar susulan peristiwa 13 Mei 1969.

Ia berkuatkuasa bermula 15 Mei 1969 hingga 23 Februari 1971. Sepanjang tempoh itu, negara ditadbir Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang diketuai perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein.

Terdahulu, gesaan agar Parlimen bersidang sekali lagi dibuat oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang berpandangan keadaan kini sudah cukup selamat.

Sekretariat PH juga hari ini berkata kekeliruan seputar penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 boleh dielakkan jika sebarang peraturan berkaitan usaha mengekang Covid-19 dibahaskan di Parlimen.

Sementara itu Takiyuddin sekali lagi berkata Parlimen hanya akan bersidang selepas tempoh darurat ditamatkan dan sehingga tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang Di-Pertuan Agong.

"Dalam tempoh Covid-19 ini jemaah menteri akan beri pandangan berdasarkan fakta dan sains. Sains ini Covid-19, faktanya kita tengok keadaan kesihatan seperti yang saya sebutkan.

"Ramai kumpulan berisiko ini dalam Dewan Rakyat, saya sendiri pun sudah warga emas. Jadi itu diambil kira," jelasnya yang juga anggota Parlimen Kota Bharu.

Pada 24 Feb lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah bertitah parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa

Ia boleh diadakan pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri, kata Istana Negara.

Tiada ulasan: