Khamis, 18 Mac 2021

Strawberi ‘PKP’ beri pendapatan tambahan

Oleh Azman Bin Ibrahim dan NOR AINNA HAMZAH
NORIZAN Wahid menunjukkan pokok strawberi tanah rendah ditanamnya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Desa Permai, Repah, Tampin hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.

TAMPIN: Suri rumah berjaya menjual kira-kira 700 pokok strawberi tanah rendah sejak ia mula ditanam ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP), Mac tahun lalu.

Norizan Wahid, 52, berkata, dia tidak menyangka apa yang digelarnya sebagai ‘Kebun Kak Siti Strawberi’ yang diusahakan secara ‘suka-suka’ di laman rumahnya itu kini memberi pulangan yang cukup lumayan setelah ia dijual pada bulan Jun tahun lepas.

Menurutnya, dia tidak pernah mempromosikan projek berkenaan dalam media sosial, namun ia dibeli pelanggan terdiri daripada golongan guru-guru di sekitar daerah berkenaan yang mendapat maklumat melalui rakan mereka yang telah membeli pokok strawberi tersebut.

“Mula-mula saya tanam enam pokok strawberi yang diletakkan di belakang rumah selama lebih setahun dan terbiar sahaja. Benihnya itu saya dapat dari satu ekspo pertanian.

“Apabila suami, ingin menambah bahagian belakang rumah sedikit dan kawasan rak menempatkan strawberi berkenaan ingin digunakan, saya pindahkan pula pokok strawberi ini di hadapan tepi rumah. Suami kemudian menggunakan kreativitinya untuk saya tanam pokok strawberi ini secara fertigasi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Desa Permai, Repah dekat sini, semalam.

Tambah Norizan, dia dan suami, Amran Abdullah, 58, kini memiliki sebanyak 567 pokok strawberi yang sedia dibeli di halaman rumah mereka.

“Bagi anak pokok, ia dijual dengan harga RM10, manakala pokok strawbery pula dijual dengan harga RM20.

“Kami tak jual buahnya kerana pokok-pokok yang mengeluarkan buah kami sedekahkan sahaja pada sesiapa yang melawat dan membeli di kebun ini,” katanya lagi.

Menurutnya, penjagaan pokok strawberi tanah rendah dari varieti Japanese Sweet Charlie (JSC) tidak sukar kerana ia memerlukan cahaya matahari yang mencukupi dan air yang disiram sebanyak dua kali sehari.

“Buahnya juga lebih manis berbanding di Cameron Highland dan ada kalanya buah yang keluar berbentuk love,” katanya.UTUSAN

Tiada ulasan: