Sabtu, 20 Mac 2021

Sarawak akan gerakkan pasukan vaksinasi ke kawasan pedalaman

Pasukan Program Vaksinasi Covid-19 akan digerakkan ke seluruh pelosok Sarawak termasuk ke penempatan di kawasan pedalaman dan terpencil di negeri itu secepat mungkin bagi memastikan semua rakyatnya dapat menerima vaksin untuk penyakit berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Douglas Uggah Embas hari ini berkata perbincangan dan perancangan yang teliti sedang dilakukan oleh JPBN Sarawak dan Jabatan Kesihatan Sarawak untuk gerakan ini.

“Arahan Ketua Menteri Sarawak (Abang Johari Tun Openg) adalah untuk program vaksinasi ini diselesaikan pada akhir Ogos, namun ia bergantung kepada kesediaan (adanya bekalan) vaksin,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Abang Johari untuk menerima suntikan dos kedua vaksinasi Covid-19, di pusat vaksinasi Stadium Perpaduan di Kuching.

Turut menerima dos vaksin kedua masing-masing di tempat sama hari ini ialah Timbalan Ketua Menteri III Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hing.

Sementara itu, Abang Johari ketika ditemui pada acara yang sama berkata kerajaan negeri masih belum menerima jawapan rasmi daripada kerajaan persekutuan berhubung cadangannya untuk membeli sendiri vaksin Covid-19 sendiri bagi menampung keperluan bekalan vaksin di negeri itu.

“Kami telah menulis surat kepada kerajaan pusat berhubung perkara itu dan respons (secara tidak rasmi) nampaknya positif,” katanya.

Semalam Uggah berkata kerajaan Sarawak telah menghantar surat kepada kerajaan persekutuan mengenai hasratnya membeli sendiri vaksin Covid-19 untuk negeri itu dan surat berkenaan dihantar kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Menurut Uggah pembelian vaksin itu akan dibuat sekiranya vaksin yang dibekalkan kerajaan Persekutuan tidak dapat memenuhi kehendak jadual program pemvaksinan di Sarawak yang dijadualkan selesai pada Ogos depan.-Bernama

Tiada ulasan: