Ahad, 14 Mac 2021

SPR diminta perjelas perkembangan undi 18

HARAKAH DAILY

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta untuk memperjelaskan perkembangan terkini berhubung pelaksanaan undi 18 tahun agar rakyat mendapat maklumat yang betul dan jelas berhubung isu tersebut.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata SPR selaku badan bebas, harus tampil membuat penjelasan kerana perjalanan dasar undi 18 kini memasuki fasa pelaksanaan.

“Peringkat penggubalan sudah selesai, kita sudah meminda Perlembagaan bagi membolehkan perkara (menurunkan usia mengundi) sudah berlaku.

“SPR kena tampil untuk membuat penjelasan, work map, perjalanan dan perancangan bagaimana ia hendak dilaksanakan. Ini soal peringkat pelaksanaan. Prosesnya panjang. Perlukan pindaan-pindaan lain, penyelarasan, pindaan undang-undang tubuh kerajaan negeri jadi, mereka perlu tampil dan perjelaskan,” katanya pada Bernama dan RTM, dalam sidang media khas di kediamannya, di sini.

Jelas Reezal Merican, kementeriannya tidak boleh mendahului SPR dalam mendepani isu tersebut kerana badan itu diberikan peranan dan tanggungjawab untuk menjalankan urusan pendaftaran pemilih dan semakan daftar pemilih, khususnya dalam menjelaskan hala tuju undi 18.

Ini termasuk dari segi pendaftaran pengundi, hak kelayakan mengundi dan menjadi calon pada usia tersebut, kata Reezal Merican.

Menurutnya, isu undi 18 itu harus dipertahan dan dijadikan realiti kerana ia disokong 211 ahli Parlimen dengan mengetepikan pandangan politik masing-masing, yang membawa kepada kelulusannya di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Reezal Merican mengulas mengenai laporan media yang mendakwa negara masih belum bersedia ke arah pelaksanaan undi 18 tahun, walaupun Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu, pilihan raya pada masa depan bakal menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik. BERNAMA

Tiada ulasan: