Ahad, 21 Mac 2021

Polis buru lelaki lari daripada tahanan

 Oleh MOHAMAD FAHD RAHMAT

GAMBAR banduan yang diburu pihak polis selepas melarikan 
diri daripada pusat tahanan di Kem PLKN Padang Hijau 
Batu 13, Jalan Mersing - Kluang, Johor.

KLUANG: Polis giat memburu seorang lelaki warga tempatan yang melarikan diri daripada Pusat Tahanan dan Penerimaan (PTP) di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Padang Hijau Batu 13, Jalan Mersing – Kluang, di sini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, pihaknya menerima panggilan daripada warden penjara pada pukul 4.50 petang yang memaklumkan seramai empat lelaki warga tempatan telah melarikan diri.

“Pegawai warden juga memaklumkan tiga daripada suspek berkenaan telah berjaya ditangkap semula oleh pihak penjara, manakala seorang lagi suspek telah berjaya melarikan diri.

“Keempat-empat suspek berkenaan adalah banduan yang telah dituduh di mahkamah dan dihantar ke kem PLKN terbabit bagi tapisan keselamatan Covid-19 selama 14 hari sebelum dihantar ke Penjara Ulu Choh,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, susulan itu pihak polis sedang melakukan ‘Op Tutup’ disemua pintu keluar dan masuk di seluruh Kluang.

“Usaha mengesan suspek masih dijalankan oleh pihak polis dan anggota penjara serta khidmat anjing pengesan K9 penjara turut digunakan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada balai polis berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-778 4256 atau 014-365 6822. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: