Staff Writers MALAYSIA NOW
Proses permohonan
penyampaian bantuan akan disegerakan bagi membantu rakyat mengatasi
masalah kewangan akibat penularan Covid-19.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggesa penjawat awam bertindak pantas bagi menyempurnakan proses penyampaian bantuan kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Katanya, dalam keadaan yang mencabar ini kesejahteraan rakyat menjadi tumpuan utama sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.
“Percepatkan proses penyampaian bantuan kepada rakyat, mereka tidak boleh tunggu lama sehari lewat mungkin dapur mereka tidak berasap,” kata Muhyiddin dalam ucapan sempena Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Putrajaya hari ini.
“Begitu juga permohonan daripada peniaga, pengusaha dan pelabur untuk mereka melabur, memula dan memulihkan perniagaan masing- masing.”
Muhyiddin turut meminta organisasi berkanun dan syarikat berkait kerajaan (GLC) bagi membantu rakyat yang terjejas selain mendengar keluhan mereka terutamanya melibatkan pembayaran sewaan premis.
“Pemimpin kerajaan sama ada ahli politik mahu pun penjawat awam, wajiblah melindungi semua rakyat, semuanya mesti dilayan dengan saksama dan dibela secara adil.
“Syarikat GLC diharapakan dapat mempertimbangkan permohonan peniaga yang mengalami kerugian, bantulah mereka untuk menyelamatkan perniagaan dan bangkit kembali,” katanya.
Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali menekankan mengenai proses cara kerja penjawat awam agar lebih efektif dan pantas.
Katanya, tindakan segera penjawat awam secara tidak langsung dapat melancarkan permohonan penyampaian bantuan selain tidak lagi menjadikan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebagai alasan proses tertunda.
“Antara yang perlu diberi perhatian ialah memastikan kepantasan dalam membuat keputusan dan inovatif dan kreatif dalam melaksanakan tindakan yang perlu diambil.
“Jadikan PKP ini bukan lagi alasan, kita mempercepatkan proses sedia ada bersesuaian dengan keadaan bagi membantu mencapai matlamat kerajaan,” katanya dalam temubual bersama RTM hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan