Isnin, 1 Mac 2021

PKP 2.0 akan tamat pada masa sesuai

ainulillia

Keputusan ambil kira jumlah peratusan rakyat divaksin

PUTRAJAYA – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang sedang berkuat kuasa ketika ini hanya akan ditamatkan pada masa yang sesuai.

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, keputusan itu akan mengambil kira jumlah peratusan rakyat sudah divaksin.

Bagaimanapun, katanya, perincian mengenainya masih belum dibincangkan lagi buat masa ini.

“Kita belum adakan mesyuarat tentang berapa peratus rakyat selepas divaksin, baru kita akan tarik balik PKP.

“Tetapi, saya percaya apabila tiba masa bersesuaian, kita akan tarik balik PKP 2.0 yang diperkenalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas amanat Setahun Malaysia Prihatin di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan untuk membenarkan pergerakan merentas negeri atau daerah, bergantung kepada penilaian beberapa faktor dan ia memerlukan keputusan bersama pihak kerajaan.

Beliau berkata, buat masa ini, tindakan kawalan kesihatan awam masih perlu diteruskan di samping memastikan program imunisasi berjalan lancar.

Tiada ulasan: