Sabtu, 6 Mac 2021

Peti, buku log lawatan, kaedah KPDNHEP bendung penyelewengan petrol, diesel

Terdapat 281 stesen minyak yang terletak berhampiran sempadan negara 
setakat November lepas.

KOTA BAHRU: Pelaksanaan peti dan buku log lawatan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di stesen minyak yang berada di sempadan negara menjadi satu lagi kaedah bagi membendung aktiviti penyelewangan dan penyeludupan petrol dan diesel bersubsidi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata, peti dan buku log ini membolehkan penguatkuasa KPDNHEP membuat pemantauan aktiviti kenderaan asing yang masuk untuk mengisi minyak di stesen yang berada di sempadan negara.

Beliau berkata, jualan minyak di stesen ini perlu dikawal rapi, kerana kerajaan tidak mahu kenderaan asing masuk ke dalam negara dan sewenang-wenangnya mengambil peluang untuk mengisi minyak sehingga penuh tangki semata-mata kerana harga minyak di negara jiran yang lebih mahal.

“Selain memantau kehadiran kenderaan asing bagi tujuan mengisi minyak, penguatkuasa KPDNHEP juga boleh memantau aktiviti di stesen minyak ini,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelaksanaan Peti dan Buku Log Lawatan Penguatkuasa KPDNHEP di Stesen-stesen Minyak berhampiran sempadan negara.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPDNHEP Hasnol Zam Zam Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP Alauddin Sidal serta Pengarah Penguatkuasaan KPDNHEP Azman Adam.

Sebagai rekod, terdapat 281 stesen minyak yang terletak berhampiran sempadan negara setakat November lepas.

Tiada ulasan: