Abd Razak Mohd Ali
Kemudahan 3R itu akan memberi manfaat kepada hampir 2,000 penghantar
makanan di Bandaraya Ipoh. - Gambar hiasan
IPOH: Prihatin dengan kebajikan penghantar makanan, kerajaan negeri Perak membina tempat 'rehat dan rawat rider' (3R) yang lengkap dengan kemudahan ruang rehat, solat, tandas dan wifi percuma.
Menteri
Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, sebagai permulaan, tujuh 3R
akan dibina di Bandaraya Ipoh yang melibatkan peruntukan hampir
RM500,000.
Menurutnya,
pembinaan 3R yang pertama di Malaysia itu adalah penghargaan kepada
penghantar makanan yang memainkan peranan penting sebagai antara
kumpulan barisan hadapan sejak pandemik COVID-19 bermula tahun lalu.
“Majlis Bandaraya Ipoh telah mengambil inisiatif untuk membina tujuh buah tempat berteduh mereka.
“Jadi
nanti waktu-waktu tertentu dia boleh berkumpul di situ, dia boleh
berehat di situ, dia boleh berjumpa, boleh berbincang, boleh mesyuarat
kecil dan boleh solat.
“Ini satu daripada
cara kita memberi penghargaan kepada mereka kerana kita juga harus
mengiktiraf para riders ini juga adalah merupakan sebahagian daripada frontliners,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis pecah tanah projek 3R bersebelahan bangunan Majlis Bandaraya Ipoh, di sini, semalam.
Hadir
sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Exco
kerajaan negeri Perak, Razman Zakaria dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk
Rumaizi Baharin.
Tujuh lokasi 3R yang
akan dibina di sekitar Ipoh ialah di pusat bandar, Meru Raya, Jelapang,
Tasek, Ipoh Garden, Medan Gopeng dan Station 18.
Kemudahan itu akan memberi manfaat kepada hampir 2,000 penghantar makanan di Bandaraya Ipoh.
Pembinaan
3R itu adalah sebahagian rancangan kerajaan negeri Perak melalui Pakej
Rangsangan Ekonomi Negeri Perak Fasa 5 yang diumumkan pada Disember
lalu.
Saarani berkata, 3R itu mungkin dibina di bandar-bandar lain di seluruh negeri, bergantung kepada keperluan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan