Oleh NORHAYATI YAHAYA
SHAH ALAM : Seorang penunggang perkhidmatan penghantar makanan mengalami retak tangan kanan dan luka pada bahagian lutut serta siku apabila menjadi mangsa langgar lari di Lebuh Raya Guthrie, dekat sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.21 petang itu, mangsa, Syahrul Izzwan Baderi Shah, 34, baru selesai menghantar pesanan makanan pelanggan di Bukit Jelutong, di sini.
Menurut Syahrul Izzwan, kejadian berlaku ketika dia sedang membuat pusingan di bawah jejambat tersebut, tiba-tiba sebuah kereta bergerak laju sebelum bergesel dengan bahagian hadapan motosikalnya.
Katanya, akibat kejadian itu, dia jatuh dan terseret sejauh 50 meter dan topi keledarnya juga tercabut daripada kepala.
“Saya lihat pada masa itu tiada kenderaan dan membuat pusingan U seperti biasa. Secara tiba-tiba saya berasa ada sebuah kenderaan menghimpit di sebelah dan dia bergesel dengan motosikal saya.
“Saya terpelanting dan ketika di atas jalan terdengar bunyi enjin kereta ditekan dengan kuat dan kereta berwarna putih itu terus bergerak dari lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Padang Jawa, di sini hari ini.
Bercerita lanjut, bapa kepada empat orang cahaya mata itu memberitahu, dia berasa sakit pada bahagian tapak tangan kanan dan bernasib baik kerana seorang pemandu wanita yang menyaksikan kejadian itu bertindak mengejar kenderaan suspek.
“Saksi kejadian ini merakam gambar kenderaan itu dan saya tahu ia adalah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Volvo XC40 T5.
“Ini merupakan pekerjaan utama untuk saya menyara keluarga dan apabila doktor memaklumkan perlu berehat selama enam minggu untuk kembali pulih, saya buntu,”katanya yang telah bekerja sebagai penghantar makanan sejak tiga tahun lalu.
Tambahnya, dia kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Salam, Seksyen 19 dan membuat laporan kejadian di Balai Polis Trafik, Seksyen 9, di sini.
Terdahulu, kejadian menimpa Syahrul Izzwan tular di media sosial Twitter dan Facebook apabila seorang pelayar meminta bantuan warganet untuk mencari pemandu SUV terbabit dan ia dikongsi oleh pelayar lain. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan