KUALA LUMPUR: Orang ramai yang mahu menjadi sukarelawan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini boleh memohon menyertai inisiatif Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac), bermula hari ini.
Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) memaklumkan, pendaftaran MyVac boleh dibuat melalui laman web www.myvac.com.my, bertujuan membantu petugas barisan hadapan dalam urusan penyampaian vaksin kepada penerima.
Katanya, MyVac terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas serta sihat tubuh badan dan mereka boleh mendaftar satu daripada dua kategori yang ditawarkan, iaitu sebagai sukarelawan am atau sukarelawan perubatan.
"Sukarelawan MyVac akan ditugaskan di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) di seluruh negara. Mereka juga boleh memilih lokasi dan masa mengikut kelapangan masing-masing.
"Satu sesi latihan secara maya juga akan diberikan kepada sukarelawan yang memenuhi kriteria," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, inisiatif MyVac dilancarkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin.
Majlis pelancaran itu dihadiri oleh Pengerusi Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) yang juga Tunku Temenggong Kedah, Datuk Seri Diraja Tan Sri Dr Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
MyVac diterajui oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan disokong CITF serta Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan PBSM.
CITF memaklumkan, MyVac menunjukkan pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat dengan membabitkan pelbagai kementerian dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan program dilaksanakan dengan berkesan bagi membendung pandemik COVID-19.
Katanya, pendaftaran bagi MyVac menerusi KBS, KPT dan PBSM juga sudah dibuka sejak 22 Februari lalu melalui saluran organisasi masing-masing.
"Sehingga kini, lebih 7,200 permohonan diterima yang terdiri daripada golongan belia, mahasiswa institusi pengajian tinggi dan ahli NGO.
"Pendaftaran yang kini dibuka kepada orang awam diharapkan dapat meningkatkan jumlah sukarelawan, terutama di kawasan luar bandar di dalam mengurangkan beban petugas barisan hadapan serta melancarkan urusan vaksinasi.
"Orang ramai yang tidak mempunyai kelapangan untuk menjadi sukarelawan boleh memainkan peranan penting dengan memanfaat dan menghebahkan maklumat dalam laman web www.vaksincovid.gov.my sebagai sumber rujukan yang tepat dan sahih, serta boleh dimuat turun untuk edaran," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan