Selasa, 23 Mac 2021

Pemandu bawah pengaruh alkohol akibatkan kemalangan ditahan

 Oleh EDDY AQMAL MOHAMED HAMIDI

Gambar hiasan

AMPANG JAYA – Seorang lelaki ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga mengakibatkan kemalangan melibatkan lima buah kenderaan di Persimpangan Jalan Mewah 2/3 Panda Mewah di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 petang ketika seorang lelaki yang memandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah Taman Putra hilang kawalan ketika sedang membelok ke kanan dan merempuh sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang berada di petak parkir di kiri jalan.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu berkenaan cuba mengawal kenderaan dipandunya namun merempuh pula bahagian hadapan sebuah kereta jenis Proton Saga yang berada di lorong kanan mengakibatkan pacuan empat roda itu naik ke atas bonet dan masuk ke laluan bertentangan.

“Pacuan empat roda itu kemudiannya melanggar bahagian sisi kanan sebuah kereta jenis Volkswagen Beetle mengakibatkan ia terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebuah kereta jenis Proton Wira yang berada di petak parkir di tepi jalan,” katanya menerusi satu kenyataan malam tadi.

Menurut Mohamad Farouk, pemandu Volkswagen Beetle itu telah mengalami kecederaan pada bahagian dada sebelah kanan dan dikejarkan ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa telah dilawati dan kini berada dalam keadaan stabil namun dia ditahan di wad Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.

“Ujian kandungan alkohol dalam darah pemandu Toyota Hilux berusia 44 tahun itu mendapati melebihi had yang dibenarkan namun ujian air kencing adalah negatif daripada sebarang dadah terlarang,” ujar beliau.

Tambah Mohamad Farouk, lelaki berkenaan yang bekerja sebagai peniaga telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum penjara tidak kurang tujuh tahun dan denda tidak kurang daripada RM30,000 jika disabitkan kesalahan.

“Permohonan reman terhadap pemandu Toyota Hilux itu akan dibuat di Mahkamah Majistret Ampang pada pukul 10 pagi esok dan saksi bebas yang berada ditempat kejadian dipohon untuk tampil memberikan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhamad Yusaiful Muhamat Basir di talian 011 1307 8348,” katanya. -K!ONLINE

Tiada ulasan: