Khamis, 4 Mac 2021

Pegawai SPRM nafi tuduhan RM2 juta terhadap Zahid tak berasas

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menghadapi 12 tuduhan pecah amanah, 
lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah 
RM117 juta. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, menafikan tiga daripada lapan tuduhan rasuah terhadap bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi adalah tidak berasas.

Fairul Rafiq Hamirudin ketika disoal peguam Hisyam Teh sama ada tiga tuduhan itu “gagal” selepas seorang saksi lain, pengarah syarikat Azlan Shah Jaffril memberi keterangan bahawa beliau membayar RM2 juta kepada Zahid pada 2017 sebagai “derma politik”, bukannya rasuah.

Zahid, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, menghadapi 12 tuduhan pecah amanah jenayah, lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram, berjumlah RM117 juta.

Syarikat Azlan, Profound Radiance Sdn Bhd dilantik Kementerian Dalam Negeri, yang ketika itu bawah Zahid, untuk melaksanakan pusat sehenti bagi memproses permit kerja pekerja warga Pakistan serta Nepal.

Timbalan pendakwa raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi membantah soalan dikemukakan itu menyebabkan Hisyam menegaskan pihaknya sekadar menyatakan pendirian bahawa tuduhan melibatkan RM2 juta berkenaan adalah tidak berasas.

Selain itu, saksi berkenaan turut berkata SPRM mengambil keterangan Zahid antara Julai dan Oktober 2018 ketika siasatan melibatkan dakwaan rasuah.

Sementara itu, seorang lagi saksi SPRM, Mohd Zamri Abdul Rashid dalam keterangannya berkata beliau ditugaskan menyiasat Zahid berhubung dakwaan rasuah berjumlah RM13.25 juta pada Oktober 2018.

Katanya, berdasarkan siasatannya, saksi Junaith Asharab Md Shariff menyerahkan cek berjumlah RM13.25 juta kepada Zahid dan adiknya Mohammad Nasaee dalam beberapa kejadian berbeza.

“Junaith bertanya kepada Nasaee dan tertuduh siapakah penerima cek berkenaan.

“Tertuduh memberitahunya bayaran itu untuk firma guaman Lewis and Co, yang bertindak sebagai pemegang amanah Zahid,” katanya.

Peguam Hamidi Mohd Nor kemudian membantah keterangan Zamri yang mendakwa Zahid menjanjikan untuk memberikan projek kerajaan kepada Junaith selepas pilihan raya 2018 ketika salah satu perjumpaan mereka.

“Pihak pembelaan menghujahkan ini sekadar pandangannya (Zamri). Junaith telah memberi keterangan bahawa anak guam saya tidak menjanjikan sebarang projek kerajaan ini,” katanya.

Pada peringkat itu, timbalan pendakwa raya Gan Peng Kun memaklumkan mahkamah bahawa pendakwaan telah mengisytiharkan Junaith sebagai saksi belot selepas beliau menukar keterangannya, tahun lalu.

Katanya, dakwaan berhubung janji projek kerajaan itu didedahkan ketika siasatan Zamri, seterusnya beliau meminta isu itu dibiarkan buat masa ini.

Susulan itu, Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata mahkamah tidak akan menerimanya.

Perbicaraan bersambung Jumaat ini.

Tiada ulasan: