Jumaat, 12 Mac 2021

Pegawai polis lepas suspek Macau Scam pengkhianat, berdepan tindakan drastik, kata Hamid

Ketua Polis Negara Hamid Bador berkata, pihaknya menyerahkan siasatan 
kes itu kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk memutuskan tindakan 
lanjut.

IPOH: Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengesahkan pembabitan seorang pegawai polis di Pulau Pinang yang didapati bersekongkol melepaskan suspek Macau Scam di negeri itu.

Beliau berkata, insiden itu dikenalpasti selepas siasatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman mendapati wujud kesalahan dalam kes berkenaan.

Difahamkan, pegawai berpangkat inspektor itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.

“Kita akan ambil tindakan drastik berhubung kes ini dan ia terang-terang satu pengkhianatan kepada pasukan.

“Sebelum ini lagi saya sudah sampaikan amanat kepada pegawai di bawah agar hentikan kegiatan sebegini kerana ia merupakan kesalahan bawah Kanun Keseksaan memang kita akan dakwa mereka ini,” katanya selepas Majlis Pemakaian Sayap Juruterbang dan Penutupan Rasmi Kursus Lesen Private Pilot’s di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hamid berkata, pihaknya menyerahkan siasatan kes itu kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk memutuskan tindakan lanjut.

“Biar suruhanjaya yang putuskan tindakan lanjut sama ada untuk buang kerja, turun pangkat itu kuasa mereka,” katanya.

Hamid tidak mahu mengambil tindakan tatatertib mengikut kuasa yang diperuntukkan ke atasnya kerana hukumannya tidak setimpal.

“Tatatertib ini bawah bidang kuasa saya dan hukumannya tidak setimpal kerana paling tinggi pun lucut hak emolumen tujuh hari,” katanya.

Tiada ulasan: