Isnin, 8 Mac 2021

Lembu KK Elit lebih besar, hasil formulasi makanan ternakan MARDI

Bernama
Lembu KK Elit lebih besar, hasil formulasi makanan ternakan MARDI
Ahmad (kiri) memberi makanan formulasi kepada lembu pedaging pada Pelancaran 
Formulasi Makanan Ternakan bagi Lembu Kedah Kelantan Elit di MARDI, Kemaman,
--fotoBERNAMA
 
CHUKAI: Produk formulasi makanan ternakan hasil penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berjaya meningkatkan proses tumbesaran lembu dengan lebih cepat dan mampu mencecah berat sehingga 500 kilogram.
 
Penyelidikan MARDI bagi formulasi makanan ternakan mengikut pengeluaran bagi lembu jenis Kedah Kelantan Elit (KK Elit) itu diusahakan secara berterusan sejak 12 tahun lalu.
 
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata produk formulasi tersebut turut berupaya memastikan ternakan mencapai jumlah makanan kering dalam bentuk komponen nutrisi karbohidrat, protein, lemak, galian dan vitamin.
 
Katanya, formulasi tersebut merangkumi makanan peringkat penggemukan, pembiakan, laktasi dan pembesaran.
 
"Kesemua produk yang dihasilkan ini masing-masing mempunyai tambahan fungsi dan kelebihan tersendiri. Ia dirumus bagi mengimbangi keperluan nutrisi lembu baka KK Elit untuk semua peringkat produksi pada kos yang optimum.
 
"MARDI akan terus melaksanakan penyelidikan bagi menghasilkan teknologi baharu dari semasa ke semasa dan mengambil pendekatan proaktif menyelesaikan masalah yang timbul di lapangan untuk faedah penternak," katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Formulasi Makanan Ternakan Mengikut Peringkat Pengeluaran Lembu Kedah KK Elit, di sini semalam.
 
Turut hadir Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor.
 
Ketika ditanya mengenai sasaran kerajaan bagi memastikan penyelidikan tersebut dapat dimanfaatkan penternak, Ahmad berkata pihaknya menyasarkan dalam tempoh enam bulan untuk menarik perhatian pemain industri.
 
Berikutan itu beliau mengalu-alukan individu dan syarikat berkaitan makanan ternakan untuk tampil mengadakan kerjasama serta memasarkan produk tersebut.
 
Sementara itu tinjauan pemberita di sekitar kawasan penyelidikan MARDI di sini, jelas menunjukkan kejayaan formulasi tersebut, malah lembu jantan yang baru sahaja berusia sekitar tiga hingga empat tahun telah mempunyai berat sehingga 460 kilogram.
 
Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Serdang, Mohd Rosly Shaari (kiri) dan Pegawai Penyelidik MARDI Kemaman, Dr Marini Ahmad Marzuki menunjukkan formulasi makanan lembu pedaging yang dihasilkan pada Pelancaran Formulasi Makanan Ternakan bagi Lembu Kedah Kelantan Elit dan Manual Teknologi Pengeluaran Lembu Pedaging Kedah Kelantan Elit di MARDI Kemaman semalam. - BERNAMA
Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian 
Malaysia (MARDI) Serdang, Mohd Rosly Shaari (kiri) dan 
Pegawai Penyelidik MARDI Kemaman, Dr Marini Ahmad 
Marzuki menunjukkan formulasi makanan lembu pedaging 
yang dihasilkan pada Pelancaran Formulasi Makanan Ternakan 
bagi Lembu Kedah Kelantan Elit dan Manual Teknologi 
Pengeluaran Lembu Pedaging Kedah Kelantan Elit di MARDI 
Kemaman semalam. - BERNAMA
 
Lembu betina pula mempunyai berat 250 kilogram bagi tempoh yang sama serta sihat.
 
Pegawai Penyelidik MARDI, Dr Marini Ahmad Marzuki berkata antara bahan yang digunakan menerusi formulasi tersebut ialah isi rung kelapa sawit, hampas kacang, sekam padi dan bijian jagung untuk dijadikan sumber karbohidrat yang mampu membekalkan tenaga.
 
"Makanan diformulasi menggunakan sekurang-kurangnya 60 peratus bahan mentah tempatan dan ditetapkan aras tenaga serta protein mengikut peringkat produksi ternakan," katanya.
 
Selain itu Pegawai Penyelidik Kanan MARDI Dr Mohd Rusly Shaari berkata dalam tempoh 12 tahun itu juga, pihaknya telah berjaya membangunkan baka lembu KK Elit melalui program pemilihan dan peningkatan baka.
 
Katanya, hasil gabungan baka KK Elit dan formulasi tersebut, kadar kenaikan badan harian berjaya ditingkatkan daripada 350 gram sehari sehingga 800 gram sehari dalam sistem fidlot dengan pemberian formulasi makanan terumus.-- BERNAMA

Tiada ulasan: