Ahad, 14 Mac 2021

Lebih 290,000 orang sudah terima vaksin Covid-19

Memasuki hari ke-19 pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula sejak 23 Feb lepas, seramai 292,104 individu menerima suntikan dos pertama vaksin di seluruh negara setakat semalam.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memaklumkan tiga negeri mencatatkan jumlah tertinggi individu yang menerima dos pertama vaksin tersebut ialah Selangor (35,620), Perak (31,675) dan Sarawak (30,634).

"Pecahan mengikut negeri lain ialah Kuala Lumpur 28,244; Pahang 25,128; Sabah 24,042; Johor 21,835; Kedah 17,114; Pulau Pinang 16,255; Kelantan 15,339; Terengganu 13,070; Negeri Sembilan 12,209; Melaka 7,963; Perlis 6,807 dan Labuan 2,342 orang," katanya dalam satu infografik yang dikongsikan di laman Facebook rasminya hari ini.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Feb sehingga April ini akan melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan negara termasuk petugas kesihatan.

Ia akan diteruskan bagi fasa kedua yang dijangka April hingga Ogos tahun ini melibatkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, selain orang kelainan upaya.

Sementara fasa ketiga dijadualkan bermula Mei hingga Februari 2022 untuk kumpulan individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang.- Bernama

Tiada ulasan: