Isnin, 1 Mac 2021

KWSP: Ramalanku benar belaka, kata Najib

MGF05022021__TEMUBUAL-EKSKLUSIF-NAJIB-RAZAK5
Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR- Kejayaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengekalkan dividen stabil meskipun dalam situasi pandemik Covid-19 telah dijangka oleh banyak pihak termasuklah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini kerana, prestasi KWSP bagi tahun 2020 banyak diselamatkan oleh pulangan pelaburan asingnya yang baik, katanya.

Najib dalam satu hantaran di Facebook sebaik sahaja dana persaraan itu mengumumkan dividen bagi tahun kewangan 2020 berkata, ramalan beliau mengenai dividen KWSP akan lebih tinggi berbanding Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah tepat.

Beliau turut memuat naik hantaran yang dibuatnya dua minggu lepas yang menunjukkan bagaimana KWSP mampu membayar dividen yang lebih tinggi berbanding dana amanah lain walaupun dalam situasi pandemik.

“Ini posting saya 2 minggu lepas.

“Hari ini, KWSP umum dividen tahun 2020 di tengah pandemik Covid adalah 5.2 peratus – jauh lebih tinggi berbanding dividen ASB.

“KWSP kata prestasi tahun lepas telah diselamatkan oleh pulangan amat baik dari pelaburan asing mereka tahun lepas.

“P.S. Siapa yang dulu asyik kecam dan tuduh saya bodoh sebab suruh KWSP melabur di luar negara termasuk untuk “membantu” Trump bangunkan Amerika Syarikat?” katanya.

Terdahulu, KWSP dalam kenyataannya mengumumkan dividen bagi Simpanan Konvensional adalah sebanyak 5.2 peratus manakala Simpanan Syariah adalah sebanyak 4.9 peratus.

Menurut Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir, dana persaraan itu mencatatkan pendapatan pelaburan kasar tertinggi iaitu sebanyak RM60.98 bilion, yang mana RM6.15 bilion diperuntukkan kepada Simpanan Shariah.

Ia hasil daripada pendekatan yang berhemah berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA) untuk memastikan KWSP tetap berdaya tahan walaupun menghadapi krisis yang tidak dijangka.

Untuk rekod, agihan pendapatan ASB bagi tahun kewangan 2020 adalah sebanyak 4.25 sen seunit.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: