Oleh HARIS FADILAH AHMAD
JERANTUT: Pengusaha sektor ekopelancongan di Taman Negara Kuala Tahan dan bandar Jerantut di sini boleh menarik sedikit nafas lega apabila kerajaan membenarkan aktiviti rentas daerah.
Walaupun kebenaran berkenaan ditetapkan dengan pelbagai syarat ketat namun pengusaha tersebut yakin kemudahan itu membuka ruang bagi pengunjung dari seluruh daerah di negeri ini dapat ‘melepaskan rindu’ untuk melawat dan menikmati taman hutan tropika berusia lebih 130 juta tahun itu.
Rata-rata pengusaha juga bersetuju kerajaan mengenakan syarat pelawat menggunakan bas persiaran berdaftar serta aktiviti lawatan diuruskan oleh agensi berlesen yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan
Budaya memandangkan langkah pengawalan serta keselamatan berikutan rantaian pandemik Covid-19 masih belum mendatar.
Pengurus Pelancongan dan Hospitaliti Mutiara Resort Taman Negara, Kuala Tahan, Sabri Abdullah berkata, kebenaran rentas negeri untuk sektor pelancongan memberikan sedikit khabar gembira kepada mereka.
“Penggunaan bas persiaran bagi tujuan lawatan akan dapat membawa kumpulan pelancong yang lebih besar serta dijamin selamat semasa perjalanan ke sesebuah destinasi di kawasan (negeri) dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Apapun kami sebagai pengusaha ekopelancongan di Taman Negara yang masih ‘tenat’ dan sebahagian pengusaha pusat inap hampir gulung tikar sangat bersetuju kaedah merentas negeri ini sambil kita berharap disegerakan pembukaan sempadan bagi pelawat antarabangsa untuk menyelamatkan sektor ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Pengusaha penginapan Greenland Guest House Kuala Tahan, Afzal Abdul Aziz berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan dengan melestarikan kaedah gelembung pelancongan bersasar domestik sambil berharap pengusaha pusat inap kecil memperoleh manfaat menerusi kebenaran itu.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan