PETALING JAYA: Seorang pekerja kedai emas disyaki mencuri barang kemas berjumlah RM2 juta sejak dua tahun lalu, sebelum ditahan hasil pemeriksaan majikannya.
Suspek wanita berusia 42 tahun itu ditahan selepas dilihat majikannya mengikat seutas rantai emas pada pahanya, Berita Harian melaporkan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pemilik kedai emas itu mendakwa mengalami kerugian RM2 juta dalam kehilangan barang kemas di premisnya.
“Susulan siasatan ke atas suspek, polis menahan dua wanita dan seorang lelaki berusia 27 hingga 36 tahun dalam serbuan di tiga kedai pajak di Sungai Way.
“Kita merampas pelbagai barang kemas dianggarkan RM138,000. Suspek utama dituduh di mahkamah, manakala tiga lagi yang ditahan menjadi saksi pendakwaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
Dalam kes berasingan, Nik Ezanee memaklumkan pihaknya memberkas seorang lelaki berusia 30 tahun yang disyaki terbabit kes pecah kereta pada Isnin.
“Kita menemui beberapa barangan yang disyaki hasil curi termasuk ‘android player’ dalam sebuah kereta,” katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan, suspek disyaki terbabit dengan 11 kes pecah kereta.
“Kita masih mengesan seorang lelaki yang dikenali sebagai Ruben berusia 24 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan