PETALING JAYA: Seorang lelaki maut selepas Proton Persona yang dipandunya melanggar tiang projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran stesen minyak di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, awal pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Zulkefly Yahya berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila dua kenderaan, sebuah Perodua Viva dan kereta dipandu mangsa, bergesel lalu terbabas dan melanggar tembok, lapor Harian Metro.
Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Mohd Fakhrulsyakia Mamat berkata, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.02 pagi.
Turut difahamkan, kenderaan yang dipandu mangsa berusia 37 tahun itu terbakar 20% di bahagian enjin.
“Terdapat seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian pemandu, sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh paramedik,” kata Mohd Fakhrulsyakia dalam kenyataan.
Susulan itu, kata beliau, jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi dengan kekuatan tujuh orang anggota dikejarkan ke lokasi.
Operasi tamat sepenuhnya pada 6.28 pagi dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan