Isnin, 22 Mac 2021

'Kedai percuma' bantu golongan memerlukan

MELAKA: Pertubuhan Kebajikan Nur Insani membuka 'kedai percuma' yang membolehkan asnaf fakir miskin dan pihak memerlukan bantuan, mendapatkan barangan keperluan harian tanpa syarat ataupun bayaran.

Pengasas pertubuhan itu, Baharudin Abd Latip, berkata kedai beroperasi di Tengkera itu menyediakan barangan makanan asas seperti beras, tepung, gula, susu dan minyak masak.

Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan membantu meringankan beban golongan memerlukan, termasuk mereka yang hilang sumber pendapatan akibat pandemik COVID-19.

"Bagi asnaf yang tiada kenderaan untuk mengambil barangan di kedai itu, lazimnya saya akan menghantar bekalan terbabit ke rumah mereka, termasuk di sekitar Tampin, sempadan Muar dan Masjid Tanah.

"Mereka hanya perlu memaklumkan melalui aplikasi WhatsApp bagi membolehkan saya menghantarnya ke rumah. Ini kerana mereka biasanya menghadapi masalah pengangkutan," katanya.

Baharudin berkata, barangan keperluan di kedai itu adalah hasil sumbangan pelbagai pihak meliputi individu dan ahli perniagaan.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin turut menyumbang boleh menghubungi pihak pertubuhan itu menerusi nombor telefon 019-3128833.

Selain makanan, katanya, mereka juga boleh menyumbang barangan keperluan lain yang bersesuaian, termasuk pakaian.

Tiada ulasan: