Khamis, 11 Mac 2021

Jumlah sebenar jemaah haji Malaysia diketahui bulan depan – Menteri

Ibadat haji tahun lalu dibenarkan untuk sebilangan kecil jemaah berikutan wabak COVID-19./ Gambar media sosial

UMAT Islam di negara ini tentu tidak sabar mengetahui berapa ramaikah rakyat Malaysia akan akan dibenarkan menunaikan haji tahun ini selepas tiada yang dibenarkan tahun lepas kerana penularan COVID-19.

Walaupun, Arab Saudi baru-baru ini menyatakan sedia memberikan tambahan kuota 10,000 lagi daripada kuoto biasa berikutan lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi tempoh untuk menunaikan ibadat itu terlalu singkat.

Sudah tentu keadaan ini tidak akan membolehkan ramai rakyat Malaysia menunaikan rukun Islam kelima tersebut walaupun mempunyai kuota yang besar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata Lembaga Tabung Haji (TH) masih menunggu makluman rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi berhubung tambahan kuota rasmi haji yang dijangka dimaklumkan Riyadh pada Ramadan April nanti.

Bernama.com melaporkan beliau berkata sementara menunggu makluman itu, TH akan membuat pelbagai persediaan sepatutnya bagi mempersiapkan bakal jemaah haji sebelum bertolak ke Makkah.

BERITA BERKAITAN Tambahan kuota haji kurangkan masa menunggu

“Saya yakin sekitar Ramadan kita akan dapat tahu mengenai kuota haji. Walaupun ia waktu yang singkat untuk membuat persediaan, tetapi TH akan ambil secara positif untuk membuat persediaan mengikut kemampuannya, selain bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah dihadapi bakal jemaah haji.

“Kita tunggu mereka (Arab Saudi), yang pastinya ia mengambil kira aspek kesihatan, keamanan dan keselamatan yang menjadi agenda utama (ketika menunaikan ibadah) dan bukannya sekadar penyediaan tempat, tetapi jemaah haji itu sendiri,” katanya selepas menyerahkan sumbangan komputer riba kepada pelajar asnaf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Perak di Dewan Besar Tabung Haji, hari ini.

Seramai 218 pelajar UTM dari Johor, Perak dan Pahang menerima bantuan komputer riba serta wang tunai melalui inisiatif Program Iqra’ yang antara lain memberikan bantuan pendidikan kepada pelajar golongan asnaf dan keluarga B40.

Ditanya mengenai pemilihan dan kuota jemaah haji, Zulkifli berkata, masih terlalu awal untuk diletakkan sebarang sasaran jumlah bakal haji yang dapat menunaikan Rukun Islam kelima itu.

“Pemilihan bakal haji mengikut syarat ditetapkan TH sebelum ini seperti perlu disuntik vaksin, tetapi untuk jumlahnya, kita belum ada angka rasmi lagi. TH akan lihat pada kemampuan dan kesihatan bakal haji termasuk dalam kalangan warga emas,” katanya.

Mengikut laman web TH, Kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota haji untuk setiap negara sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah penduduk dan kuota haji untuk Malaysia pada masa ini ialah 31,600.

Terdapat kira-kira 3.6 juta bakal jemaah haji yang berdaftar dengan TH ketika ini dan secara asasnya terpaksa menunggu hingga 130 tahun untuk mendapatkan giliran mengerjakan haji.

Tiada ulasan: