Sabtu, 6 Mac 2021

Jeritan misteri dari istana Predjama


Lebih kurang 11 kilometer dari bandar Postojna di Slovenia, terdapat sebuah istana zaman Renaissance yang berusia lebih 700 tahun.

Binaannya terpampang kukuh, betul-betul berhadapan permukaan gua. Ia pernah dijadikan sebagai lokasi penggambaran filem The Armour of God yang dibintangi oleh Jackie Chan pada tahun 1986.

Jackie Chan dalam filem The Armour of God.

Istana yang dikenali sebagai Predjama ini telah dibina pada tahun 1274 oleh seorang lelaki bernama Patriark Aquileia dengan berkonsepkan gothik.

Menyingkap kembali sejarahnya, istana Predjama ini mempunyai legenda yang tersendiri.

Pada awal abad ke-15, seorang keturunan bangsawan bernama Erazem Leuger yang mengetuai kumpulan perompak telah menyelinap masuk ke dalam istana ini dan membunuh penghuninya, iaitu seorang pembesar kerajaan Rom.

Erazem kemudian telah menjadikan istana Predjama sebagai sebuah penempatan kerana kedudukannya yang strategik dan mempunyai lorong-lorong rahsia. Salah satu lorong tersebut menghubungkan istana ini dengan gua Postonja.

Namun, salah seorang pengikut bawahan Erazem telah belot. Pihak pemerintah Rom telah mengesan kedudukan mereka dan Erazem diserang. Ketika itu, hampir separuh istana ini telah musnah dalam peperangan. Erazem mati ditembak dengan peluru meriam ketika berada di dalam bilik tidurnya.

Istana Predjama.

Pada tahun 1511, istana Predjama dibangunkan semula. Tetapi tidak lama selepas itu, ia runtuh kembali kerana gempa bumi, dan sekali lagi ia dibangunkan semula untuk kali ketiga pada tahun 1567. Struktur itulah yang bertahan dan dapat dilihat sehingga ke hari ini. Selepas Perang Dunia Kedua, Istana Predjama telah dijadikan sebagai muzium untuk kunjungan pelancong.

Ketika zaman kegemilangannya, istana ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bilik tidur, dapur, ruang tamu, stor senjata, ruang mesyuarat, penjara, termasuklah mahkamah. Ruang mahkamah ini kecil sahaja, lebih kurang 10 kaki persegi dan ia beroperasi sekitar abad ke-16 dan 17.

Antara pameran di bahagian dalam istana ini.

Setiap kali perbicaraan dijalankan, tingkap yang terdapat pada ruangan ini akan dibuka. Jika individu yang dibicarakan itu didapati bersalah kerana membunuh atau menentang pemerintah, mereka akan dicampak sahaja menerusi tingkap tersebut dan jatuh ke dalam gaung setinggi 200 meter.

Sejak ia dibina, lebih 500 orang pesalah menjalani hukuman seperti itu. Namun, laluan ke kaki gaung berkenaan telah ditutup dan para pelancong tidak dibenarkan turun ke bawah.

Pada tahun 2007, pihak National Geographic telah datang ke istana Predjama untuk melakukan kajian tentang elemen mistik yang dikatakan wujud di sini. Tahu apa mereka jumpa?

Salah seorang pengkaji tanpa sengaja telah merakam suara manusia menjerit seperti sedang jatuh dari tempat tinggi. Sehingga kini, jeritan yang dirakam itu masih belum dapat dijelaskan secara saintifik.


Tiada ulasan: