KUALA LUMPUR: Sebuah jejambat yang sedang dalam pembinaan, runtuh di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Desa Tun Razak, di sini, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, memaklumkan runtuhan terbabit dilaporkan menghempap sebuah van kilang.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal diterima, dipercayai ada lima mangsa terperangkap di dalam van kilang berkenaan.
"Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 5.58 petang tadi.
"Susulan itu, tiga jentera serta dua ambulans dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Bandar Tun Razak serta BBP Cheras bersama kekuatan 23 pegawai serta anggota dikerahkan ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan.
Kejadian runtuhan ini mengakibatkan laluan dari arah Bandar Tasik Selatan menuju ke Ampang mengalami kesesakan teruk.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, pula berkata pihaknya menerima maklumat awal pada jam 6.15 petang tadi mengenai kes kemalangan dipercayai membabitkan sebuah lori membawa jengkaut melanggar binaan di lebuh raya, berhadapan Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
"Akibat kemalangan itu, runtuhan binaan telah jatuh ke atas sebuah van kilang datang dari arah pusat bandar yang dinaiki empat atau lima mangsa. Status mangsa masih belum diketahui, setakat ini.
"Setakat ini, pasukan bomba sedang dalam proses mengangkat bahan binaan yang runtuh," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan