IKATAN Muslimin Malaysia menzahirkan rasa dukacita
atas keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penganut agama Kristian
menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama, pendidikan dan
komuniti mereka.
ISMA melihat sekiranya penganut agama Kristian mahu menggunakan
kalimah Allah kerana merujuk kepada bahasa Melayu ianya sesuatu yang
salah kerana Allah bukan perkataan bahasa Melayu.
Penganut Kristian juga ada nama tuhan yang tersendiri dan tidak perlu bersusah payah untuk meminjam nama tuhan agama lain sehingga menimbulkan
ketegangan bukan sahaja di kalangan penganut agama lain, bahkan di
kalangan penganut agama Krsitian sendiri.
Oleh itu ISMA membantah sekeras-kerasnya tindakan penganut agama
Kristian yang tetap mahu menggunakan kalimah Allah dalam apa juga
keadaan.
ISMA dengan ini menyokong penuh tindakan kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan penganut agama Kristian bagi tujuan pendidikan.
ISMA juga menyokong kesemua resolusi yang digariskan oleh Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) iaitu :
1. Menuntut Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk merayu terhadap keputusan ini ke mahkamah yang lebih tinggi dengan kadar segera dan meminta
penangguhan perlaksanaan keputusan hakim tersebut sehingga kes rayuan
selesai. KDN perlu mengeluarkan pekeliling baharu pengharaman penggunaan
perkataan-perkataan tersebut sekiranya penangguhan itu tidak
dibenarkan.
2. Menuntut kerajaan dan jawatankuasa Pemilihan Hakim untuk
memastikan hanya mereka yang benar-benar faham sejarah perundangan
negara dan menghayati Islam sebagai agama Persekutuan dalam konteks yang
sebenar dilantik sebagai hakim.
3. Menyaran agar setiap organisasi dan persatuan umat Islam
mengambil serius perihal dan isu ini kerana ianya membawa implikasi yang
besar kepada umat Islam dan kita menyarankan agar satu MEMORANDUM bantahan dihantar kepada majlis agama Islam negeri (MAIN) di setiap negeri dengan kadar yang segera.
4. Menuntut kerajaan mengadakan preamble (mukadimah) kepada Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan elemen-elemen penting bagi menjaga keutuhan Islam.
5. Menggesa Dewan Bahasa dan Pustaka selaku badan berautoriti terhadap bahasa untuk memberikan DEFINISI kepada ‘God’ sebagai ‘Tuhan’ bagi menghilangkan pertikaian yang
timbul.
6. Memohon ampun perkenan Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing untuk mengambil tindakan segera bagi membetulkan keadaan supaya Islam tidak terus dihina dan dipermain-mainkan.UTUSAN
(*) Muhammad Fauzi Asmuni, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan