Jumaat, 5 Mac 2021

‘Gelembung hijau’ mungkin diwujud untuk perjalanan antara negeri selepas 18 Mac

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata, perjalanan antara negeri mungkin 
dibenarkan selepas 18 Mac ini, tetapi ia bukannya ‘pembukaan semula sempadan 
negeri secara menyeluruh’ seperti tahun lalu.

PETALING JAYA: Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata, larangan rentas negeri mungkin dibatalkan seawal 18 Mac, jika jumlah kes Covid-19 dapat dikurangkan ke tahap mampu diuruskan.

Beliau berkata, kementeriannya akan membuat cadangan kepada kerajaan, tetapi ia bukannya pembatalan menyeluruh yang sama seperti tahun lalu bagi mengelakkan lonjakan kes lain.

“Kami belajar selama setahun daripada perintah kawalan pergerakan, perintah kawalan pergerakan diperketatkan, perintah kawalan pergerakan bersyarat dan perintah kawalan pergerakan pemulihan.

“Jadi, kami tahu larangan rentas negeri antara langkah yang perlu untuk mengurangkan jumlah kes,” katanya kepada Malay Mail Online.

Adham berkata, banyak negara lain turut melarang perjalanan domestik bagi mencegah penularan virus, seperti Australia, China, Korea Selatan dan Singapura.

“Jadi, kami memutuskan tidak akan ada rentas negeri sehingga 18 Mac,” katanya sambil menambah ini akan dikaji semula secara tetap.

Dr Adham Baba.

“Selepas 18 Mac, kami akan lihat jika data menunjukkan penambahbaikan kerana kita sudah berjaya menurunkan lengkuk ketika itu.”

Kes harian Covid-19 di dalam negara berkurangan baru-baru ini, walaupun 2,063 kes baru semalam mencapai paras 2,000 buat julung kali dalam bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata, larangan rentas negeri mungkin kekal sehingga sekurang-kurangnya 70% populasi divaksin, di mana imuniti kelompok dianggap tercapai.

Katanya, pengajaran boleh diambil daripada keputusan membuka semula sempadan negeri hujung tahun lalu yang menyebabkan penularan Covid-19 di “negeri hijau” seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Adham berkata, Noor Hisham menggunakan imuniti kelompok sebagai “langkah maksimum”, tetapi ada keperluan membuka sempadan lebih awal sebagai cara untuk “mengimbangi kehidupan dan punca pendapatan”.

Katanya, kerajaan berhati-hati ketika ini dan meneroka kemungkinan “gelembung hijau” untuk perjalanan domestik yang selamat.

“Kami akan mengambil langkah untuk membenarkan perjalanan antara negeri berdasarkan perkara tertentu dan ini penting. Kami akan cuba mewujudkan gelembung hijau.”

Tiada ulasan: