JOHOR BAHRU: Gara-gara cemburu dan menghadapi tuntutan fasakh, seorang suami didakwa menembak mati isterinya ketika mangsa tidur di kediaman mereka di Taman Saujana Kota Tinggi.
Mayat ibu dua anak itu dijumpai di dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang serai, di Bandar Penawar, pagi semalam.
Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata mangsa berumur 38 tahun manakala suaminya berusia 43 tahun. Turut ditahan rakan suspek berusia 32 tahun.
Beliau berkata kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu. Polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman berkenaan, Berita Harian melaporkan.
Ayob Khan berkata polis memulakan siasatan setelah jiran mangsa membuat laporan berkaitan kehilangannya, Isnin lalu.
Hasil siasatan, suami mangsa, bersama rakannya di tahan keesokan harinya.
“Suspek mendakwa isterinya keluar rumah pada pagi Isnin lalu kira-kira jam 2 pagi dan tidak pulang ke sejak itu. Suspek turut mendakwa berlaku perselisihan faham dengan isterinya itu.
“Bagaimanapun, suami mangsa yang juga seorang pemandu jengkaut akhirnya mengaku membunuh isterinya dengan senapang angin ketika wanita berkenaan sedang tidur.
“Mayat wanita kemudian berkenaan dimasukkan ke dalam tong air berwarna biru bersama kain cadar sebelum tong berkenaan di bawa ke sebuah ladang serai di Bandar Penawar, lebih 30 kilometer dari kediaman mereka dan ditanam di situ,” katanya.
Ayob Khan berkata, kira-kira 10.30 pagi semalam suspek menunjukkan polis lokasi isterinya ditanam.
Katanya, mayat mangsa yang diisi di dalam tong air itu ditemui tertanam sedalam kira-kira dua meter di ladang serai berkenaan.
“Kita percaya suspek membawa tong air biru itu di dalam kenderaan miliknya ke ladang berkenaan sebelum menggunakan jengkaut bagi menggali lubang bagi menanam tong berkenaan.
“Hasil siasatan lanjut di rumah suspek menemukan selaras senapang angin, selaras senapang patah, 54 butir peluru penabur 12 bore, sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Pajero, dan sebuah jengkaut.
“Siasatan juga mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes mendatangkan kecederaan dan pemilikan senjata api,” katanya.
Ayob Khan berkata, si suami dan seorang lagi suspek ditahan reman enam mulai hari ini. Mereka disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
“Kedua-dua suspek turut disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960. Polis dapat menyelesaikan kes ini dalam tempoh tiga hari selepas laporan dibuat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan