Bintulu: Dua lelaki tempatan yang sedang leka menangkap ikan dan udang dengan menggunakan elektrik di Sungai Kemena ditahan sepasukan anggota ronda Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Bintulu dalam Op Benteng Covid-19, malam tadi.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPMW5 Bintulu, Asisten Superintendan Ezuandi Bahadin berkata, hasil risikan serta maklumat daripada orang awam di kawasan Pekan Sebauh, suspek pertama berusia 53 tahun berjaya ditangkap bot peronda Unit Risikan Marin PPMW5 di kawasan hilir Pekan Sebauh pada jam 8 malam.
"Tangkapan suspek pertama turut membawa kepada penangkapan seorang lagi suspek berusia 36 tahun yang menggunakan bot berasingan pada 8.30 malam di kawasan berhampiran.
"Pelbagai peralatan menangkap ikan dan udang secara haram ditemui dalam perahu fiber yang digunakan kedua-dua suspek termasuk dua bateri jenama Sumo, transformer model 27800, plak, batang kayu yang dililit dengan wayar elektrik," katanya.
Ezuandi berkata hasil rampasan termasuk perahu yang digunakan kedua-dua suspek dianggarkan bernilai RM32,050.
Kesemua barangan yang dirampas kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPMW5 Jepak Bintulu bagi dijadikan bahan bukti kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan