TANJONG KARANG: Hidup di rumah pusaka menunggu masa rebah ke bumi sejak dua tahun lalu.
Namun, nasib seorang wanita warga emas di Jalan Pantai Rasa Sayang, Sungai Burong, di sini mendapat perhatian Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang tampil membina rumah baharu di kawasan sama, hari ini.
Noryah Mohamed, 69, berkata, dia hidup bersendirian dan terpaksa berteduh di dapur rumah yang sentiasa dimasuki air kerana kebocoran bumbung ketika hujan.
Noryah yang masih bujang berkata, dia hanya berteduh di dapur selepas tiang utama dan lantai bahagian depan rumah itu reput akibat dimakan anai-anai.
“Selain menunggu masa untuk roboh, saya terpaksa menadah air dengan baldi terutama ketika hujan lebat kerana zink bocor.
“Saya bukannya tidak mahu membaik pulih namun tidak berkemampuan dan tiada sumber pendapatan,” katanya ketika ditemui pada program Ziarah PUNB di kawasan itu hari ini yang turut dihadiri Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar.
Tambah Noryah, sumbangan itu dianggap sebagai hadiah paling bermakna sejak menetap di rumah berkenaan selama 65 tahun.
“Impian saya sememangnya mahu tinggal di kediaman lebih selesa dan selamat di atas tanah pusaka sama.
“Saya amat menghargai pemberian rumah PUNB yang dijangka disiapkan dalam tempoh sebulan,” katanya yang juga asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Sementara itu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, setakat ini, pihaknya telah mengenal pasti empat rumah baharu bakal dibina manakala dua dibaik pulih dalam kawasan parlimen tersebut.
“Senarai semua penerima ini diperoleh menerusi LZS yang terdiri daripada asnaf dan layak menerima bantuan berkenaan.
“Pembinaan rumah melibatkan kos peruntukan berjumlah kira-kira RM30,000 setiap satu dan dijangka siap seawal tempoh tiga minggu,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan