KUALA LUMPUR: Isu langkau giliran bagi mendapatkan vaksin terus hangat diperkatakan apabila ia didakwa turut membabitkan pembantu rumah dan pemandu orang kenamaan.
Pengerusi MedTweetMY, Dr Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin, ketika mendedahkan perkara itu berkata, pihaknya menerima pelbagai laporan daripada pengadu yang dirahsiakan identitinya.
Katanya, dokumen berbentuk senarai nama dan gambar berhubung isu berkenaan turut diterima, memandangkan bekalan vaksin dibawa masuk ke Malaysia sejak 21 Februari lalu sepatutnya diperuntukkan kepada petugas barisan hadapan.
"Saya mendapat banyak laporan 'potong barisan', malah disertakan bukti dokumen senarai nama dan gambar.
"Ada yang anak sendiri ambil gambar keluarga, majlis perbandaran juga dapat dulu (vaksin) sedangkan mereka ini petugas barisan hadapan ke?
"Diuar-uarkan sehingga pembantu rumah dan pemandu VIP (orang kenamaan) juga akan terima suntikan?" katanya menerusi kenyataan di akaun Twitter, @khairul_hafidz, semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, semalam, dilaporkan memberi amaran tindakan langkau giliran bagi mendapatkan vaksin boleh didakwa mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, yang menyuarakan nada sama turut berkata individu bukan petugas barisan hadapan sudah dikeluarkan daripada senarai penerima vaksin fasa satu.
Meskipun berang dengan isu 'potong barisan' bagi mendapatkan vaksin, Dr Khairul berkata, semua maklumat dan laporan berkaitan dikemukakan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk tindakan lanjut.
"Walau apa pun, saya menghormati prosedur ditetapkan MOSTI, justeru kami akan rangkum dan e-mel kepada saluran diberikan.
"Harap isu ini dapat diambil serius. Diharap selepas pengadu e-mel, kami akan mendapat maklum balas dan tindakan dilaksanakan MOSTI.
"Ini supaya kami tahu tindakan sudah diambil. Jika tiada e-mel maklum balas, boleh dianggap tiada tindakan..
"Saya masih menghormati saluran yang betul, biar kami gunakan pendekatan ini dulu," katanya mengulas desakan pengguna Twitter supaya mendedahkan butiran laporan dan dalang langkau giliran bagi mendapatkan vaksin.
Berikutan pendedahan di laman media sosial, Dr Khairul berkata, suatu dokumen lain berstatus aduan yang disalurkan pengguna Twitter kepada MedTweetMy turut dikemukakan kepada MOSTI untuk siasatan lanjut.
Difahamkan, dokumen itu didakwa mengandungi butiran berhubung petugas
barisan hadapan di sebuah 'bandar raya' yang masih tidak mendapat
suntikan vaksin, tetapi beberapa orang kenamaan sudah menerima pelalian
berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan