Polis Kelantan mengesan terdapat segelintir pegawai dan anggotanya yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.
Ketua Polis Negeri Datuk Shafien Mamat berkata perkara itu dikesan menerusi surat persetujuan yang perlu ditandatangani pegawai dan anggota sebelum menerima suntikan vaksin.
Justeru, beliau berkata pegawai dan anggota terlibat akan dipanggil dalam masa terdekat untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan terperinci faktor yang menyebabkan mereka enggan menerima vaksin tersebut.
“Sekiranya mereka mempunyai penyakit seperti penyakit asma, mengandung, penyakit kronik dan lain-lain, itu akan terkecuali,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan. di Kota Bharu hari ini.
Shafien berkata pihaknya tidak mahu ada dalam kalangan anggota polis terpengaruh dengan kumpulan antivaksin sedangkan mereka sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat.
Dalam pada itu, beliau berkata sejumlah 1,018 daripada 3,922 pegawai dan anggota polis di seluruh negeri itu telah menerima vaksin setakat semalam.
“Seramai 2,547 pegawai dan anggota akan disuntik bagi fasa pertama yang telah bermula awal bulan ini. Kita masih menunggu vaksin tambahan untuk kegunaan pegawai dan anggota di tiga daerah iaitu Kota Bharu, Kuala Krai dan Pasir Mas,” katanya.
Pada 25 Feb lepas, Kelantan menerima 18,720 dos vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech bagi fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilaksanakan secara berperingkat di negeri itu, dengan 31 lokasi dikenal pasti sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin itu sebagai simbolik pelancaran program imunisasi di peringkat negeri tersebut pada 2 Mac lepas.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan