KLANG: Cubaan 52 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk ke negara ini dengan menaiki bot tongkang tidak berhasil apabila ditahan pihak berkuasa, semalam.
Semua warga asing termasuk kanak-kanak dari Indonesia berusia empat hingga 45 tahun itu ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Tanjong Karang, dekat sini, kira-kira pukul 10 malam.
Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, penahanan itu dilakukan hasil rondaan rutin pihaknya bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam Op Benteng.
“Melihat kecurigaan bot itu, kita menuju ke lokasi bot tongkang berkenaan kira-kira 10 batu nautika dari Pantai Tanjong Karang. Hasil pemeriksaan kemudian menemukan 52 individu disyaki PATI iaitu 24 lelaki, 27 wanita dan seorang kanak-kanak lelaki,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, seorang individu disyaki tekong bot itu sempat meloloskan diri dengan terjun ke laut dan pihaknya menjalankan operasi mencari namun gagal berikutan keadaan cuaca gelap.
Kata Rosman, kesemua warga asing itu termasuk tiga kru bot dibawa ke Pangkalan PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.
“Kru bot itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, manakala penumpang itu ditahan atas kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Tambah beliau, nilai anggaran rampasan melibatkan bot tongkang berkenaan dianggarkan RM10,000.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan