KUALA LUMPUR: Polis menahan 44 individu termasuk tujuh wanita dipercayai terbabit sindiket perjudian dan penipuan pelaburan dalam talian hasil serbuan di sebuah apartmen servis di Jalan Perak, di sini, semalam.
Menerusi Operasi Dadu bermula jam 10 malam itu, semua suspek berusia antara 17 hingga 41 tahun ditangkap kerana melakukan kegiatan berkenaan menerusi platform Forex.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata turut dirampas 22 komputer riba, 53 set komputer, 286 telefon bimbit pelbagai jenama, satu kad sim dan satu kad akses bagi membantu siasatan.
"Modus operandi sindiket itu adalah menggunakan sebuah premis 'penthouse' sebagai pusat operasi aktiviti itu yang menyasarkan pelanggan dari luar negara seperti Taiwan dan China menggunakan aplikasi WeChat.
"Premis itu dipercayai dijadikan 'pusat khidmat pelanggan' sejak Ogos tahun lalu dengan bayaran sewa RM15,000 sebulan.
"Sindiket itu turut menggaji pekerja RM2,000 sebulan dengan waktu bekerja bermula jam 12 tengah hari hingga 10 malam," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad Zainal berkata, semua suspek dikompaun mengikut Peraturan 18 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 4) (2021).
"Ia membabitkan kesalahan terbabit aktiviti dengan kehadiran ramai sehingga menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan fizikal dan pematuhan arahan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah).
"Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan